
SHAH ALAM – Harga jualan ayam segar di pasaran mengalami peningkatan sebanyak enam kali sejak Oktober hingga November.
Peniaga Pasar Moden Seksyen 6, Shah Alam, Shahrul Nizam, 41, berkata, setakat semalam, beliau terpaksa menjual ayam daging dengan harga RM8.50 sekilogram.
“Awal Oktober lalu harga ayam masih boleh dijual dengan harga RM7 sekilogram tetapi berlaku kenaikan sebanyak enam kali sehingga hari ini, di mana purata kenaikan adalah 30 sen.
“Walaupun menerima rungutan pembeli, apa yang saya boleh jelaskan kepada mereka adalah pembekal telah menaikkan harga, dan mereka terpaksa menaikkan kepada harga sepatutnya,” ujarnya.
Katanya, ramai beranggapan penjual ayam memperoleh keuntungan besar apabila menjual ayam pada harga tinggi, namun sebenarnya meleset.
“Bila pembekal letakkan harga tinggi, modal yang terpaksa di keluarkan kami juga tinggi dan keuntungan kami makin kecil kerana memikirkan soal pembeli pula.
“Sebenarnya bila harga ayam naik, pembeli akan mengurangkan kuantiti belian mereka. Sebagai contoh, kalau harga ayam RM7 sekilogram, orang akan menimbangkan untuk beli dua ekor ayam terus tapi kalau harga mencecah RM8.50 mereka tidak akan beli ayam tersebut lebih daripada seekor. Ini tak kira lagi dengan kos kami untuk simpan ayam yang tak habis dijual,” katanya.
Menurutnya, dia mengakui kenaikan minyak sepanjang Ogos hingga November mempengaruhi harga semasa ayam segar.
“Kebiasaannya peladang atau pihak pembekal akan hubungi kami memaklumkan kenaikan harga ayam. Sebagai peniaga, kita bergantung kepada bekalan ayam mereka. Mahu atau tidak terpaksa bayar harga tinggi.
“Beberapa hari lagi cuti sekolah akan bermula dan banyak kenduri akan berlangsung. Kebiasaannya harga ayam ini akan terus meningkat selaras dengan permintaan.
“Saya harap sangat-sangat, pihak berkuasa dapat bantu peniaga kecil dan pembeli kerana cukup terkesan dengan situasi yang berlaku,” katanya.
Source: SH Edisi Sel KL
[featured-video-plus]