Enggan rakyat terus terpedaya

in Edisi Selangor KL by


SHAH ALAM – Kerajaan negeri memandang serius isu berkaitan pengemis yang dilihat semakin meningkat khususnya di kawasan-kawasan bandar dan tumpuan orang ramai.


Exco Tetap Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, masyarakat dan orang awam juga perlu diberi kesedaran dan didedahkan dengan gejala mengemis yang biasanya didalangi oleh sindiket bagi mengaut kentungan mudah.


“Kita memandang serius isu pengemis di Selangor, kita tak mahu masyarakat tertipu dengan sindiket ini yang akhirnya akan membawa lebih banyak masalah dan gejala sosial tidak sihat malah menjadi lubuk pengemis.


“Selain penguatkuasaan undang-undang secara bersepadu oleh agensi kerajaan, kerajaan negeri juga melihat aspek pencegahan seperti kempen kesedaran kepada masyarakat perlu diberi penekanan juga,” katanya.


Beliau berkata demikan ketika berucap merasmikan Kempen Pencegahan Pengemisan-Bijak Membantu Elak Tertipu, semalam.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Hanafi Maulud berkata, objektif kempen berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai berkaitan kegiatan mengemis selain mendorong untuk menderma ke saluran yang betul.


“Mengikut perangkaan kita, memang terdapat peningkatan kes berkaitan pengemis sejak tahun 2013.


“Justeru, bagi bendung kegiatan ini kita jalankan operasi sbersepadu libatkan beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Agama Islam, Jabatan Kesihatan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan serta pihak berkuasa tempatan,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]