
SUNGAI RAMBAI – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menyasarkan hasil jualan produk secara dalam talian menerusi AgroBazaar Online sebanyak RM 5 juta dalam tempoh tiga tahun ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Fama, Mansor Osman, berkata, angka itu yakin dapat dicapai memandangkan sasaran RM2 juta pada tahun ini juga hampir tercapai dengan jumlah hasil jualan sehingga November ini iaitu RM1.9 juta.
Menurutnya, sejak AgroBazaar Online diperkenalkan sebagai medium usahawan menjual barangan mereka sama ada produk agro pertanian atau makanan, ia mendapat sambutan memberangsangkan.
“Terdapat 3,811 kedai beroperasi secara dalam talian dengan mencatatkan seramai 18,000 pelanggan yang telah menggunakan perkhidmatan itu,” katanya.
Beliau demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Seminar Pemasaran Online dan Program Best Buy oleh Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan Kerajaan negeri, Datuk Hasan Abd Rahman di Dewan RTC, di sini hari ini.
Mansor berkata, dalam tempoh itu, terdapat 8,594 produk usahawan di seluruh negara dipasarkan menggunakan kaedah berkenaan, bagaimanapun golongan berkenaan digesa lebih kreatif dan sentiasa mempromosikan bersama produk mereka menerusi pendekatan itu.
“Perlu usahasama pekedai atau ushawan itu promosikan produk sebab dalam online tak boleh rasa dan tak boleh nak pegang, mereka perlu kerjasama dengan Fama.
“Kelemahannya bila usahawan berharap penuh kepada Fama, sedangkan kita banyak lagi produk yang dipasarkan,” katanya.
Beliau berkata, usahawan yang berminat untuk menyertai AgroBazaar Online boleh mendaftar di bawah Fama, manakala pembelian produk secara dalam talian boleh dilakukan melalui www.agrobazaar.com.
Source: SH Nasional
[featured-video-plus]