Hanya mampu terlantar atas katil

in Edisi Utara by


JERLUN – Seorang isteri di Kampung Jerlun, di sini tabah membesarkan anak-anaknya selepas suami yang menjadi tempat bergantung diserang angin ahmar sejak Februari lalu.


Zalida Ahmad, 45, yang juga suri rumah sepenuh masa berkata, suaminya, Yusri Ahmad Tajudin, 48, diserang angin ahmar ketika tidur yang menyebabkan sebelah kiri tubuhnya tidak boleh bergerak.


“Keadaan suami agak kritikal selama dua minggu di hospital. Selepas keadaannya agak stabil, doktor bagi balik, tapi dia hanya mampu terlantar atas katil saja,” katanya.


Menurutnya, bagai jatuh ditimpa tangga, suaminya kemudian disahkan lumpuh seluruh badan selepas terjatuh dari katil dua bulan lalu.


“Masa sihat, suami saya hanya buat kerja kampung. Sekarang langsung tak boleh buat apa-apa.


“Semuanya bergantung kepada saya dan anak-anak,” katanya.


Zalida berkata, suaminya perlu minum susu khas melalui tiub.


“Tapi kami tak mampu nak beli susu, jadi saya gantikan dengan makanan berkuah.


“Kalau ikutkan, bila minum susu, dia lebih kenyang dan tidur lena. Tapi nak buat macam mana, susu mahal sangat, saya kena tanggung anak-anak dan dua cucu yang tinggal dengan saya,” katanya yang bekerja di kantin SMK Jerlun sebelum suaminya sakit.  


Katanya, dia mendapat bantuan bulanan sebanyak RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun jumlah berkenaan tidak mencukupi untuk suaminya.


“Belanja untuk lampin pakai buang suami pun dah cecah RM200 setiap bulan, tiga anak saya pula masih bersekolah.


“Ada dua anak yang kerja di kedai makan dekat sini, tapi gaji tak seberapa boleh bantu untuk belanja dapur saja,” katanya.


Tambahnya, dia kini buntu memikirkan suaminya perlu ke hospital untuk rawatan susulan pada bulan hadapan.


“Saya pun tengah fikir macam mana nak bawa suami pi hospital, kami tak ada kereta, kalau ada duit sikit-sikit boleh la juga sewa kereta,” katanya.

Akaun BSN 021344 10000 75774 (Yusri Ahmad Tajudin) atau hubungi Zalida 013-6307992


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]