'Harga tak padan dengan kemampuan isi rumah'

in Edisi by


SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Johor digesa segera menangani isu ketidakseimbangan pasaran harta tanah yang semakin kritikal di negeri itu.


Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan Johor, Salahuddin Ayub berkata, gesaan itu disuarakan susulan kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Buletin Suku Tahunan 2017 bahawa negeri Johor mempunyai jumlah rumah yang tidak terjual tertinggi di negara ini, merangkumi 27 peratus daripada jumlah harta tanah tidak terjual.


“Kerajaan negeri perlu bertindak segera dengan memastikan masalah ini tidak berlarutan dan rakyat mendapat manfaat yang terbanyak dalam sebarang pembinaan rumah kediaman di Johor.


“Punca kepada banyak rumah tidak terjual adalah disebabkan oleh ketidakpadanan harga rumah dengan kemampuan isi rumah di Johor yang semakin hari semakin kritikal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, kewujudan rumah-rumah mahal atau tidak mampu milik semakin mendominasi pasaran perumahan di Johor, ia menyukarkan ramai generasi muda di Johor yang tidak memiliki rumah.


“Atas kegagalan ini, BNM juga telah memberi amaran keras kepada kerajaan negeri. Saya menggesa kerajaan negeri Johor berhati-hati dalam meluluskan sebarang projek perumahan akan datang,” katanya.


Salahuddin berkata, dengan amaran dikeluarkan BNM, kerajaan negeri perlu memastikan masalah itu tidak berlarutan sehingga pihak lain terpaksa membantu membina rumah mampu milik bagi memenuhi permintaan rakyat hari ini.


“Sudah menjadi tanggugjawab kerajaan negeri dalam memastikan penyediaan rumah mampu milik di Johor diselia dengan baik.


“Saya juga ingin memetik laporan rasmi oleh Khazanah Research Institute (KRI) dalam laporannya ‘Making Housing Affordable’ yang juga meletakkan Johor sebagai julat 4.2 pada tahun 2016 yang meletakkan rumah di Johor sebagai ‘seriously unaffordable’ atau sangat tidak mampu milik berdasarkan pendapatan median rakyat Johor,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]