
MERSING – Orang ramai berpeluang menyaksikan sendiri 250 koleksi dari kapal yang karam di perairan Mersing dan Johor secara percuma bermula semalam sehingga hujung Januari depan.
Kurator Muzium Mersing, Wasfi Mirza Othman berkata, kesemua koleksi dipamerkan itu melibatkan 13 kapal yang karam di perairan Johor.
“Ini termasuk Kapal Royal Nanhai, Turiang dan Diana. Jumlah koleksi sekarang ni untuk pameran sebanyak 250, yang kebanyakannya dimiliki Muzium Mersing.
“Tapi kita ada juga jalankan kolaborasi dengan Jabatan Muzium Malaysia serta Muzium Nelayan Tanjung Balau. Koleksi mereka itu memang yang ditemui di perairan Mersing sejak tahun 960 sehingga 1868,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Muzium Mersing, semalam.
Antara koleksi yang menarik perhatian ialah tembikar batu berglais yang dijumpai di perairan Johor dipercayai sudah terlalu lama di dalam laut, selain artifak tureen biru putih berusia ratusan tahun, namun masih kelihatan baharu.
Dalam pada itu, bagi memeriahkan lagi pameran berkenaan, pihaknya bekerjasama dengan usahawan industri kecil sederhana (IKS) di Mersing selama tiga hari di pekarangan Muzium Mersing.
“Untuk tiga hari pertama ini iaitu sehingga esok, kita anjurkan Mini Karnival Warisan yang sarat pelbagai aktiviti dan gerai dibuka menyajikan bermacam jenis makanan, pakaian serta produk kraf tangan.
“Orang ramai bukan saja dapat melawat muzium, namun mereka juga boleh cuba sendiri aktiviti seperti mencanting batik, pertandingan mewarna kanak-kanak serta pelbagai permainan tradisional seperti congkak dan dam haji,” katanya.
Muzium Mersing akan dibuka bermula 10 pagi hingga 11 malam, selama tiga hari bermula semalam hingga esok.
Manakala waktu operasi bagi muzium selepas itu kembali seperti biasa iaitu 10 pagi hingga 4.30 petang dan tutup pada Jumaat serta hari pelepasan am.
Menyasarkan penganjuran pameran itu dapat menarik kira-kira 5,000 pengunjung, Wasfi berharap orang ramai tidak melepaskan peluang itu.
“Saya berharap pameran ini dapat bantu menambah pengetahuan pengunjung. Bukan calang-calang, semua kapal ini dari Belanda, British dan beberapa kawasan luar yang karam ketika berlayar di perairan Johor serta Mersing.
“Kita juga ada pamerkan khazanah perang dunia kedua, di mana ada artifak peninggalan Jepun,” katanya.
Source: SH Edisi Johor
[featured-video-plus]