Kerajaan teliti perluas pemberian bantuan orang tua

in Nasional by


PUTRAJAYA – “Kerajaan akan  meneliti pemberian bantuan orang tua untuk diperluaskan kepada penjagaan warga emas dan pemberian insentif kepada penjaga warga emas,” kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Perkara yang diputuskan pada Mesyuarat Majlis Sosial Negara yang dipengerusikannya di  Bangunan Perdana Putra di sini hari ini adalah  kerana Malaysia akan berdepan dengan fasa negara tua menjelang 2030.


Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata Majlis Sosial Negara juga bersetuju Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mewujudkan profiling atau data warga emas bagi penyediaan keperluan warga emas di negara ini.


“Kerajaan turut mengalu-alukan dan menyokong supaya negeri-negeri serta pihak berkuasa tempatan mewujudkan kemudahan infrastruktur sosial kepada warga emas,” katanya dalam kenyataan yang diedarkan sempena mesyuarat itu.


Dalam menangani kes buli di sekolah-sekolah, Ahmad Zahid berkata mesyuarat Majlis Sosial Negara itu juga bersetuju pengelasan data untuk memenuhi definisi buli yang sebenarnya perlu dilaksanakan.


Beliau berkata, mesyuarat turut memutuskan bahawa agenda sosial perlu dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa tindakan negeri dan daerah.


“Penggunaan media sosial oleh badan korporat  dan pertubuhan bukan kerajaan dalam membantu sebagai antibuli amat dialu-alukan,” katanya.


Dalam mesyuarat sama, Ahmad Zahid berkata Kementerian Pendidikan telah mensyaratkan semua


prasekolah (tadika) dalam sistem pendidikan kebangsaan perlu melaksanakan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK).


Menurutnya KSPK, yang dilaksanakan bermula pada 2010, telah ditambah baik dengan disemak semula untuk pelaksanaan tahun ini.


“KSPK (semakan 2017) mengandungi enam tunjang utama yang berkaitan dengan pendidikan kerohanian adalah kerohanian, sikap dan nilai yang mempunyai dua komponen utama.


“Dua komponen itu ialah Pendidikan Islam untuk murid beragama Islam dan Pendidikan Moral untuk murid bukan Islam,” katanya.


Menurut Ahmad Zahid, 120 minit seminggu adalah masa yang diperuntukkan untuk pengajaran dan pembelajaran bagi kedua-dua komponen itu.


Terdahulu, Ahmad Zahid turut mempengerusikan Mesyuarat Jawatakuasa Peringkat Tinggi (HLC) mengenai Pasukan Khas Sekolah-Sekolah Tahfiz dan  mesyuarat berkenaan memutuskan institusi-institusi tahfiz melaksanakan kurikulum kebangsaan berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM) selaras dengan Akta Pendidikan 1996.


Katanya usaha bersepadu antara KPM, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), pihak berkuasa agama negeri  serta persatuan perlu dilaksanakan untuk menggalakkan dan memastikan institusi-institusi tahfiz berbuat demikian.


Pada 4 Oktober lalu, mesyuarat jemaah menteri bersetuju memperuntukkan RM30 juta sebagai tambahan kepada peruntukan RM30 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Bajet 2017.


“Peruntukan itu adalah untuk pembaikan institusi tahfiz di seluruh negara bagi tahun ini. Ini menunjukkan kerajaan sentiasa prihatin dalam memastikan sekolah-sekolah tahfiz mempunyai tahap persekitaran pembelajaran yang kondusif dan selamat,” katanya.


Dalam Bajet 2018 pula, Ahmad Zahid berkata peruntukan RM50 juta kepada Giatmara untuk membaik pulih dan menyelenggara sistem pendawaian di semua tahfiz yang berdaftar di seluruh negara.


Selain itu, katanya Skim Latihan Kemahiran Giatmara akan diperkenalkan bagi tujuan melatih pelajar tahfiz supaya lebih berkemahiran. –Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]