Keramat Lab bina keluarga al-Quran

in Nasional by


MALAYSIA menangis… tragedi 23 terkorban dalam kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang berpunca perbuatan khianat, mencetuskan kempen #savingfamilies Keramat Lab untuk 12 bulan.


Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), Marhaini Yusoff berkata, kejadian yang menyayat hati rakyat pada 14 September lalu, telah memberi kesedaran mengenai betapa penting misi kita mengukuhkan keluarga, masyarakat dan negara dengan al-Quran.


Menurutnya, rentetan tragedi subuh 23 Zulhijah 1438H yang menimpa pusat tahfiz berkenaan, kawasan Keramat dipilih sebagai Keramat Lab bagi projek perintis kempen selama setahun ini bertujuan mengukuhkan keluarga dengan al-Quran sebagai solusi.


“Jika metod Keramat Lab berjaya dilaksanakan, saya berharap Rumah Ngaji lain turut berperanan di tempat lain. Kini terdapat 1,140 Rumah Ngaji di seluruh tanah air dan berharap bilangan bertambah dengan menyasarkan 3,000 Rumah Ngaji pada 2020.


“Saya berharap pelbagai pihak dapat bersinergi dalam mencapai misi Keramat Lab untuk bawa keluarga masuk syurga,” katanya.


WUI bersama rakan sinergi termasuk Rumah Ngaji, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM),  ACT consulting partner in Culture Transformation dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Astro dan Sinar Harian dalam program Keramat Lab.


Sementara itu, Timbalan Pengurus Projek Keramat Lab, Datin Hartini Abd Ghani berkata, kejadian kebakaran pusat tahfiz terbabit meninggalkan kesan mendalam kepada umat Islam, terutama keluarga mangsa.


Beliau yang juga penggerak Rumah Ngaji @ Zuliana & Ridzuan turut kehilangan anak lelakinya, Allahyarham Nik Muhammad Ridzuan Nik Azlan, 12, dalam kejadian tersebut.


“Kempen tersebut beri kesedaran kepada masyarakat bahawa masalah sosial remaja adalah tanggungjawab bersama.


“Ia perlu dibendung melalui akar umbi, iaitu keluarga. Selamatkan keluarga kita, siapkan persekitaran yang baik, saling membantu memperbaiki keluarga kita.


“Kita kena kembali kepada asas, kukuhkan ummah dengan al-Quran dan Sunnah,” katanya.


Pengarah PPAS, Mastura Muhamad pula berkata, pihak perpustakaan akan terlibat menjayakan program Keramat Lab dengan menggerakkan semua perpustakaan khusus Perpustakaan Kuala Lumpur untuk menjayakan Keramat Lab.


“Kami berharap setiap pemimpin keluarga, masyarakat dan negara dapat menguatkan organisasinya. Sebagaimana pesan Hassan Al-Banna, masyarakat mesti ada iman. Iman hanya dapat melalui pelajaran ilmu dan kita yakin,” katanya.   


Orang ramai dijemput hadir termasuk keluarga, badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan, korporat mahupun individu untuk memberi sokongan kepada keluarga mangsa serta menggerakkan kempen #saving families Keramat Lab.


Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman sosial https://www.facebook.com/savingfamilies2017/ atau berhubung Datin Hartini (012-4092060) dan Hamidah (019-3300506).


Majlis pelancaran Keramat Lab akan disempurnakan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani di Taman Tasik Datuk Keramat (belakang Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah), jam 8.30 pagi hingga 11 pagi, 2 Disember ini.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]