KPDNKK sasar 1,000 syarikat francais menjelang 2020

in Nasional by


IPOH – “Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyasarkan sebanyak 1,000 syarikat francais di negara ini menjelang 2020,” kata Pengarah Bahagian Pembangunan Francais KPDNKK, Siti Aisah Ismail.     


Beliau berkata sasaran itu mampu dicapai berikutan terdapat sejumlah 844 syarikat francais di negara ini yang meliputi pelbagai sektor.         


Menurutnya sebanyak 65 syarikat francais tempatan telah berjaya mengembangkan perniagaan mereka ke 66 buah negara dan pembukaan 4,217 outlet di destinasi terpilih.         


“Ini menunjukkan jenama francais tempatan diterima di luar negara dan majoriti sektor francais yang berada di luar negara berkaitan dengan bidang makanan dan minuman.


“Antaranya Marrybrown, The Manhattan Fish Market, Bangi Kopitiam dan Paparich,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Hari Francais sempena Karnival Jualan Mega KPDNKK 2017 di sini, hari ini.         


Majlis itu dirasmikanTimbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan,  Datuk Henry Sum Agong.         


Siti Aisah berkata,  jumlah transaksi industri francais pada tahun lepas dicatatkan sebanyak US$1.28 juta manakala US$900,000 setakat ini tahun ini.


Terdahulu, Henry dalam ucapannya berkata industri francais memberi sumbangan yang besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang menyumbang sebanyak RM26.6 bilion atau 3.4 peratus kepada pendapatan negara pada 2016.             


“Ini satu jumlah yang besar dan pada tahun depan, jumlah itu dijangka meningkat kepada RM27 bilion,” katanya.  –Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]