
PERLAWANAN akhir Kumpulan B Zon Utara Liga Bolasepak Rakyat (LBR) 2017/2018 di antara Bandar Baharu dan Baling MDB bakal memutuskan salah satu pasukan tersebut akan mara ke peringkat kalah mati sebelum ke peringkat kebangsaan.
Pertembungan sengit dua tangga teratas tersebut sedikit memberi kelebihan kepada Bandar Baharu yang memungut 13 mata diikuti lawannya, Baling MDB 12 mata selepas 5 perlawanan.
Pengurus pasukan Persatuan Bolasepak Daerah (PBD) Bandar Baharu, Mohd Mustaffa Kamal Shaikh Ismail berkata, pasukannya tetap berwaspada dengan kunjungan pasukan lawan yang pastinya mahu memburu kemenangan di laman mereka di Padang Awam Bandar Baharu petang esok.
Walaupun beraksi di laman sendiri pastinya memberi kelebihan kepada pasukan tersebut namun rekod baik dimiliki oleh pelawat juga perlu diambil kira.
“Bandar Baharu muncul pendahulu Kumpulan B selepas Baling MDB dipotong tiga mata kerana menurunkan pemain yang didaftarkan dalam Liga Malaysia pada perlawanan menentang pasukan kami pada 14 Oktober lalu di laman mereka.
“Kami bersedia untuk mempertahankan kelebihan yang dimiliki sekarang walaupun sedar ia bukan satu tugas yang mudah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
LBR dalam Facebook rasminya memaklumkan, kemenangan diberikan kepada pasukan Bandar Baharu dengan jaringan 3-0 dan pasukan Baling MDB juga diberikan amaran keras atas kesalahan tersebut.
Pada perlawanan pusingan pertama peringkat kumpulan, Baling MDB menewaskan Bandar Baharu dengan keputusan 2-1.
Sementara itu, pendahulu Kumpulan A dan C iaitu Langkawi dan Kangar KSMR telahpun mengesahkan slot mereka di peringkat kalah mati biarpun perlawanan masih berbaki satu perlawanan sahaja lagi.
Bagi saingan Kumpulan D pula menyaksikan tiga pasukan masih berpeluang mencuri satu slot ke peringkat seterusnya iaitu Kuala Muda (8 mata), Padang Besar Unimap (8 mata), Padang Terap (7 mata) dan perlawanan akhir peringkat kumpulan akan menjadi penentu pasukan mana yang akan layak.
Source: SH Sukan
[featured-video-plus]