Pemilik syarikat rugi RM15,000

in Edisi Selangor KL by


PUCHONG – Seorang pemilik syarikat kerugian hampir RM15,000 apabila pejabatnya yang terletak di tingkat satu kompleks rumah kedai Suria Kinrara Taman Kinrara Seksyen 3, bertakung air petang, semalam.


Lawrence Chiew yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Zon 14 Dun Kinrara berkata, kejadian disedari sebaik dia kembali ke pejabatnya selepas menikmati makan tengahari di kedai makan berhampiran kira-kira jam 2 petang.


Menurutnya, sejam sebelum itu hujan lebat namun dia tidak menyangka air hujan akan memenuhi setiap inci ruang pejabat yang turut dijadikan Pusat Khidmat JPP Zon 14 itu.


“Masa saya pulang ke pejabat, saya dapati air hujan mencurah-curah macam air terjun di tangga. Cepat-cepat saya berlari ke atas dan dapati pejabat sudah bertakung air hampir 0.3 meter.


“Memang pelik bagaimana pejabat di tingkat 1 boleh bertakung air sedangkan tingkat bawah langsung tidak banjir,” katanya.

Keadaan bumbung bocor menyebabkan air mengalir dan menitis masuk ke pejabat Lawrence


Lawrence berkata, dia percaya kejadian berlaku disebabkan sistem saliran air di atas bumbung pejabat yang tersumbat dipenuhi sampah.


Dakwanya penduduk di pangsapuri tingkat atas sering membuang sampah dari tingkap rumah masing-masing malah pernah mencampakkan botol minuman keras ke atas siling hingga menyebabkan ia bocor.


Katanya, kejadian kali kedua berlaku semalam namun ia paling serius sejak mula berpindah ke situ lima tahun lalu.


“Air yang tak dapat mengalir keluar kerana saluran tersumbat kemudian menitis daripada siling bahagian depan pejabat saya. Dulu masa kejadian pertama sempat juga alihkan barang, kali ini tiada sesiapa di pejabat.


“Habis semua permaidani basah malah perabot juga sudah mulai kembang bertakung dalam air,” katanya hal tersebut sudah dimaklumkan kepada pihak pengurusan bangunan.


Lawrence dalam pada itu meminta pihak pengurusan supaya memasang jaring bagi mengelakkan sampah dibuat terperangkap dalam sistem saluran air bumbung pejabatnya .


“Kalau letak jaring, sampah akan terperangkap di situ, saya kesal sikap penghuni sini yang suka buang sampah hingga akibatkan siling bocor dan tersumbat,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]