
KOTA BHARU – “Saya tidak takut pun, saya nak bersunat,” kata kanak-kanak berusia lima tahun dari Kampung Tapang yang menjadi peserta paling muda daripada kira-kira 100 orang yang menyertai program khatan beramai-ramai, di sini hari ini.
Alif Firdaus Fakru Ikram, 5, menyertai khatan itu bersama abangnya, Rafiq Firdaus, 9.
Mereka berdua yang ditemani ibu, Anis Suwarso, 34, dan bapa, Fakru Ikram Yusof, 38, bersemangat menyertai program berkenaan walaupun mengetahui berkhatan itu menyakitkan.
Anis berkata, pada mulanya dia terkejut apabila Alif Firdaus menyuarakan hasratĀ berkhatan sekali dengan abang dan sepupu-sepupunya.
“Kebetulan kami mendapat makluman ada penganjuran khatan beramai-ramai secara percuma dan saya gembira sebab program ini membantu golongan kurang berkemampuan dengan membantu anak-anak berkhatan,” katanya.
Dia ditemui selepas Program Khatan Beramai-ramai anjuran Pertubuhan Wanita Prihatin Kelantan di Kampung Kemumin bermula jam 8.30 pagi pada sesi pagi dan 2.30 petang bagi sesi kedua, di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Umno Bahagian Pengkalan Chepa, Ismail Omar dan Ketua Wanita Umno Pengkalan Chepa, Zarina Eusope.
Sementara itu, Zarina yang juga Pengerusi Pertubuhan Wanita Prihatin Kelantan, berkata, program itu akan diadakan setiap tahun sebagai pertubuhan itu dengan sokongan Umno Bahagian Pengkalan Chepa.
“Saya percaya ramai ibu bapa ambil peluang mengkhatankan anak pada cuti sekolah, tambahan ia adalah percuma dan sebagai usaha Umno mendekati rakyat,” katanya.
Ismail pula berkata, pihaknya tidak mempunyai peruntukan khas untuk khatan, tetapi kami bekerjasama memberikan khidmat kepada rakyat menerusi khatan.
Source: SH Edisi Kelantan
[featured-video-plus]