
IPOH – Kerajaan negeri nafi dakwaan wujud pinjaman bank sehingga RM1.9 bilion oleh Taman Tema Animasi Studio (Maps).
Exco Pelaburan, Industri dan Pembangunan Koridor Negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, tiada mana-mana bank yang akan menawarkan sejumlah pinjaman sebesar itu dengan nilai aset RM520 juta.
Katanya, tidak diketahui daripada sumber mana dakwaan itu timbul kerana ia tidak benar.
“Saya bagi contoh, kalau kita ada rumah berharga RM200,000, tak ada bank yang nak bagi pinjaman fasiliti sampai RM1 juta. Pembangkang kata kos Maps RM520 juta kemudian kata bank bagi fasiliti RM1.9 bilion.
“Bank manalah yang nak bagi pinjaman sehingga RM1.9 bilion untuk pelaburan atau aset bernilai RM520 juta. Tak ada bank yang nak bagi. Saya tak tahulah mana dia dapat tu,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan pembangkang kononnya Maps mempunyai pinjaman bank RM1.9 bilion.
Mohammad Zahir berkata, hutang yang ada dianggarkan cuma RM200,000 dan ia tidak menjadi isu.
Katanya, pembangunan Maps itu melibatkan urusan syarikat senaraian awam dan tidak melibatkan duit rakyat.
“Tak ada kena mengena. Kita faham pilihan raya dah dekat. Pembangkang pun tak ada isu, jadi mereka koreklah.
“Sebelum cakap, kena fikir dahulu kepentingan umum, lebih-lebih lagi yang yang melibatkan audit dan keselamatan,” katanya.
Mengulas kekecohan Sidang Dun yang didakwa berpunca daripada jawapan soalan pembelian pegangan dalam Maps oleh PCB Developement Sdn Bhd yang diberikan tidak lengkap, Mohammad Zahir berkata, beliau tidak menjawab soalan tambahan itu kerana ia melibatkan peraturan Bursa Malaysia.
Menurutnya, pemegang saham utama Maps, PCB Development Sdn Bhd adalah anak syarikat Perak Corporation Berhad (PCB) yang juga syarikat senarai awam.
Katanya, syarikat berkenaan tertakluk di bawah peraturan Bursa Malaysia dan kerajaan tidak boleh terlibat di dalam keputusan komersial syarikat.
“Kita ada undang-undang dan peraturan Bursa Malaysia. Tidak boleh buat kenyataan sembarangan kerana ia melibatkan pegangan-pegangan umum dalam syarikat-syarikat awam.
“Dewan bukan platform yang betul untuk menjawab soalan berkenaan. Platform yang betul adalah di mesyuarat agung tahunan (AGM) PCB kerana ia melibatkan keputusan komersil dan sebagainya,” katanya.
Menjawab soalan lisan Datuk Mohamad Daud Mohd Yusof (BN-Selama) pula, Mohammad Zahir menjelaskan semua zon di Maps dapat beroperasi sepenuhnya selepas kerja-kerja penambahbaikan dan semakan tambahan dibuat.
Katanya, kesemua zon itu dijangka dapat disiapkan dan dibuka pada Disember ini.
Source: SH Edisi Perak
[featured-video-plus]