Sasar 3,000 MaxTerminal

in Bisnes by


PERNIAGAAN perkhidmatan wang berlesen penuh dan peneraju pasaran dalam perniagaan tukaran wang secara borong, Max Money menyasarkan 3,000 MaxTerminal di seluruh negara menjelang akhir tahun 2018.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abda Hamid Abdullah berkata, setakat ini, jumlah pemasangan MaxTerminal adalah 180 dan pihaknya mengunjurkan jumlah transaksi RM3 juta menjelang akhir tahun ini.


Menurutnya, Max Money akan meletakkan peranti di kedai runcit terpilih terutamanya di pusat perniagaan, perindustrian dan kawasan luar bandar seluruh negara.


“Perkhidmatan MaxTerminal ini membolehkan pelanggan mengirim wang keluar negara dengan hanya guna kad debit di kedai runcit terpilih. Kami menerima sambutan memberangsangkan kerana setiap bulan transaksi akan meningkat kerana penggunanya adalah warga asing yang kebanyakannya tidak menggunakan perbankan internet. Dengan adanya MaxTerminal, mereka dapat menjimatkan masa dan kos kerana tidak perlu ke kawasan tertentu untuk mengirim wang.


“Kami menyasarkan kawasan pedalaman dan ladang untuk meluaskan MaxTerminal. Kebanyakan pengguna adalah dari Indonesia, Nepal, Bangladesh, India. Ada juga rakyat tempatan menggunakan perkhidmatan ini untuk mengirim wang kepada anak mereka yang berada di luar negara,” katanya pada majlis pelancaran Digital Max Money dan portal dalam talian Max Money, semalam.


Hadir dan merasmikan majlis itu ialah Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Wira Dr Abu Bakar Mohd Diah dan Ketua Pegawai Digital Max Money, Mohammed Yacoob.


Abda Hamid berkata, Max Money adalah penyedia perkhidmatan pertama di Malaysia untuk memperkenalkan model hibrid Online to Offline (O2O), di mana urusan kewangan peribadi dan perniagaan boleh dilakukan di kaunter atau dalam talian.


“Perkhidmatan ini boleh digunakan 24 jam sehari akan beri kemudahan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pekerja asing dan masyarakat luar bandar untuk mengirim wang ke 150 negara. Setakat ini, Max Money mempunyai MaxTerminal di 12 negara sahaja,” katanya.


Sementara itu, Dr Abu Bakar berkata, perkhidmatan MaxMoney dapat meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos mengirim wang selaras dengan inisiatif Bank Dunia iaitu Project Greenback 2.0.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]