SKMM buat SOP sedia hadapi bencana banjir

in Edisi Terengganu by


HULU TERENGGANU – Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengadakan beberapa Operasi Prosedur Standard (SOP) berkaitan kesiapsiagaan hadapi bencana bagi melancarkan sistem komunikasi sekaligus usaha kurangkan risiko terputus perhubungan sewaktu bencana seperti banjir berlaku.


Timbalan Menterinya, Datuk Seri Jailani Johari berkata berkaitan perkara itu juga pihak telco diharapkan turut bersiap-sedia dari awal sekiranya berlaku mana-mana permasalahan dari segi liputan dan pihaknya juga telah arahkan syarikat-syarikat telco bersama SKMM memberi penerangan kepada radio amatur.


“Sistem komunikasi antara satu elemen penting jika berlakunya bencana seperti banjir. Sehubungan itu, pihak kementerian turut punyai SOP berkaitan kesiapsiagaan dan kemungkinan juga kita akan sediakan telefon satelit atau sebagainya terutamanya di kawasan-kawasan yang memang tidak ada liputan.


“Sokongan dan bantuan daripada radio amatur juga selalunya diterima bagi melancarkan sistem komunikasi di kawasan-kawasan yang tiada liputan. Walaupun pengendali radio amatur biasanya sekadar hobi, tetapi apabila berlaku sesuatu bencana atau kecemasan, mereka akan turun padang membantu.


“Kes orang hilang di Sekayu, Hulu Terengganu sebelum ini pun ada menerima bantuan daripada radio amatur sehinggalah mangsa ditemui. Begitu juga dengan kes tsunami di Acheh, radio amatur turut turun padang melancarkan sistem komunikasi atau perhubungan.


“Kita juga ingin ingatkan orang ramai agar jangan terlalu ghairah jadi wartawan segera dengan menyebar maklumat tidak sahih sehingga mengundang situasi panik serta kebimbangan kepada pelbagai pihak terutamanya sanak keluarga mangsa yang terlibat,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Skuad Sukarelawan Bencana Parlimen Hulu Terengganu dan Penyampaian Vest Cdert di Dataran Lubuk Bayas, Kampung Menerong, di sini, hari ini.


Hadir sama, Pengarah Penerangan Terengganu, Nasrudin H.Mahmud; Pengarah Angkatan Pertahanan Malaysia Terengganu,  Leftenan Kolonel(PA) Che Adam A Rahman serta Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hulu Terengganu merangkap Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Azmi Razik.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]