Tak wajar sekat peruntukan Adun PKR

in Edisi Utara by


BUKIT MERTAJAM – Tindakan kerajaan negeri yang menyekat peruntukan bantuan mangsa banjir kepada Adun Kebun Bunga,Cheah Kah Peng adalah tidak wajar dan tidak menghormati keputusan demokrasi pilihan rakyat Kebun Bunga dalam pilihan raya yang lalu.


Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman berkata,sebagai wakil rakyat yang mendapat mandat rakyat dalam pilihan raya lalu, sewajarnya beliau tidak sepatutnya disekat dari menjalankan kewajiban sebagai wakil rakyat bagi penduduk Kebun Bunga.


Mansor berkata, tindakan untuk menyerahkan tugas tersebut kepada Adun Pulau Tikus pula dilihat seperti mengenepikan peranan PKR dalam kerajaan negeri.


” Kami ingin menegaskan bahawa keputusan menarik peruntukan kepada Adun Kebun Bunga tidak melalui perbincangan dan rundingan dengan pihak PKR.


“Alasan bahawa sekatan ini adalah kerana atas sebab prosedur dalaman juga amat naif dan sukar diterima. Pihak kami ingin menegaskan bahawa tindakan ini telah sedikit sebanyak mencalarkan semangat setiakwan dalam Pakatan Harapan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.


Mansor berkata, pihaknya berpandangan bahawa yang paling penting di saat pasca bencana banjir ini adalah untuk merapatkan saf dan menyusun strategi agar rakyat dapat merasa kerajaan yang ada sekarang adalah kerajaan yang mendengar dan memahami denyut nadi rakyat.


Katanya, dengan semangat untuk membangkitkan semula Pulau Pinang, keutamaan kita adalah untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Pulau Pinang tercinta.


Sebelum ini, media melaporkan mengenai surat yang diterima Kah Peng daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus yang menyatakan yang menyatakan Adun Kebun Bunga itu dikecualikan daripada menguruskan pendaftaran permohonan bantuan mangsa banjir di kawasannya.


Difahamkan, keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan Ketua Menteri Lim Guan Eng.


 


 


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]