Tarikan baharu agropelancongan

in Edisi Utara by


SUNGAI PETANI – Perancangan menaik taraf Desa Keda Kampung Tepi Sungai, Kota Kuala Muda yang dihuni komuniti nelayan mampu menjadikan kawasan tersebut sebagai tumpuan pelancong dalam dan luar negara sekali gus salah satu lokasi agropelancongan menarik di daerah ini.


Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Kawasan Parlimen Sungai Petani, Datuk Abdul Rahim Saad berkata, setakat ini, desa itu telah menjadi tumpuan beberapa kelompok pelancong asing yang datang untuk mendapatkan hasil laut di mana di kampung berkenaan juga wujudnya lokasi pusat pendaratan ikan dan pasar bisik yang popular.


Menurutnya, jika kawasan Desa Keda yang melibatkan 96 rumah itu dinaik taraf terutama dari segi kebersihan dan keceriaan, sudah pasti ia menjadi tumpuan lebih ramai pelancong.


“Saya pernah bertembung dengan beberapa pelancong asing yang menginap di hotel di sini menceritakan mereka singgah ke Kampung Tepi Sungai dan Desa Keda di Kuala Muda untuk melihat dengan lebih dekat aktiviti dijalankan komuniti setempat.


“Dalam masa sama, mereka teruja dengan hasil laut di situ yang masih dalam keadaan segar dan mengambil kesempatan mendapatkannya di samping menyaksikan cara urus niaga bisik-berbisik dilakukan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika hadir ke Majlis Ramah Mesra Bersama Nelayan Kuala Muda dan Penyampaian Bantuan Elaun Sara Hidup Nelayan Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Muda di Dewan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah, Tikam Batu.


Katanya, perancangan itu boleh dilakukan dalam masa terdekat secara berperingkat seperti mencantikkan kawasan dengan penanaman pokok hiasan, mengecat pintu gerbang dan memperelok infrastruktur termasuk longkang dan jalan.


“Penduduk juga perlu mainkan peranan bersihkan halaman, buang sampah di tempat disediakan dan mencantikkan perumahan sendiri agar mampu jadi tarikan pelancong,” katanya.


Menurut beliau, dengan mempertingkatkan aspek kebersihan, kesihatan penduduk juga akan lebih terjamin dalam masa sama menggalakkan orang ramai melawat rumah nelayan sehingga boleh dijadikan kawasan nelayan contoh.


Setakat ini, katanya, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah telah memberikan kerjasama dalam usaha meningkatkan kebersihan di Desa Keda Kampung Tepi Sungai.


“Ia selaras dengan program gotong-royong yang dijalankan minggu lalu secara besar-besaran di sini sehingga mendapat reaksi positif pelbagai pihak,” katanya.


Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa tempatan yang telah memberikan kerjasama dalam pelaksanaan perancangan itu ke arah menjadikan Desa Keda sebagai sebuah perkampungan agropelancongan di daerah ini.


Lebih menarik, katanya, kawasan sama juga mempunyai sejarah dan nostalgia tersendiri kerana merupakan bekas tapak tsunami 2004 lalu selain kewujudan Galeri Tsunami yang terletak berdekatan bakal menjadi tarikan utama.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]