PELAYAR Terengganu mengungguli kutipan pingat emas hari pertama ‘Terengganu Monsoon Challenge Sailing GP 2017’ yang mula membuka tirainya di Duyong Marina & Resort.
Terengganu mempamerkan aksi cemerlang dengan mengutip empat pingat emas dalam acara pertama Duyong Island Challenge menerusi Asmawi Azman bagi kategori Laser Radial setelah menewaskan pelayar dari Perak, Mohd Haris Safwan Ismail dan Muhammad Akil Jamil (Johor).
Bagi kategori Laser 4.7 pula, penguasaan pelayar Sukma Terengganu, Umar Al Farouk Mohd Zahawi nyata sukar disaingi apabila dinobatkan selaku juara setelah mengetepikan cabaran pelayar Kedah, Muhammad Fauzi Kaman Shah dan Amir Hamzah Rosman (Perak).
Kutipan pingat emas diteruskan pelayar kelahiran negeri ini apabila berjaya mendominasi tiga kedudukan teratas dalam acara Race Board menerusi Elfee Shahrizan Alias, Muhammad Al Firdaus Mohd Zahawi dan Tengku Arif Tengku Azam.
Lebih manis, pelayar tuan rumah turut membuktikan penguasaan mereka dalam kategori RS One dengan menyapu bersih pingat yang dipertandingkan melalui Muhamad Izzuddin Abdul Rani (emas), Ilham Wahab (perak) dan Luqman Hakimi Jasmi.
Selain emas, kontinjen Terengganu turut meraih empat pingat perak dan tiga gangsa dalam enam kategori yang dipertandingkan bagi acara Duyong Island Challenge sekaligus muncul juara keseluruhan acara itu.
Manakala 300 pelayar dari seluruh negara termasuk Thailand, Singapura, Indonesia dan Jepun telah memulakan saingan peringkat kumpulan dalam lima lagi acara yang dipertandingkan antaranya termasuklah UMT-IPT Open Championship 2017; RC Sailboat Sailing Challenge (lake and monsoon challenge); Terengganu Novice Open; Terengganu Monsoon Challenge dan Terengganu Monsoon Challenge Sailing GP Final 2017.
Kejohanan anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan Persatuan Luncur Layar Terengganu bakal berlangsung selama empat hari bermula semalam dengan menawarkan hadiah keseluruhan lebih RM60,000 kepada pemenang.
Source: SH Sukan
[featured-video-plus]