Terima kasih Kelab Rotary PD

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


PORT DICKSON – Kelab Rotary Port Dickson menyumbang pendingin hawa dan mesin penapis air kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Intervensi Awal Lukut sebagai pusat penjagaan dan pemulihan untuk kanak-kanak orang kurang upaya (OKU).


Sumbangan disampaikan pengerusinya, R Jackson dalam satu majlis ringkas ketika melawat PDK tersebut bersama ahli-ahli persatuan itu, baru-baru ini.


Menurut Jackson, sumbangan itu bagi membantu PDK tersebut menyediakan suasana yang selesa, sekali gus meningkatkan aspek kebersihan dalam pengendalian anak-anak istimewa di situ.


“PDK tersebut baru berpindah ke bangunan baru, justeru masih banyak keperluan asas perlu dilengkapkan.


“Kita mahu memastikan program pemulihan untuk kanak-kanak istimewa di pusat ini berjalan lancar,” katanya.


Jackson berkata, sumbangan itu diperoleh daripada sumbangan ahli Kelab Rotary Port Dickson yang prihatin dan ingin melihat PDK ini dapat beroperasi dengan lebih baik.


Sementara itu, Pengerusi PDK Intervensi Awal Lukut, Adzhar Yahya berkata, PDK adalah pusat bimbingan dan penjagaan OKU yang memerlukan sokongan serta sumbangan daripada pelbagai pihak.


“PDK tidak mampu bergerak secara bersendirian dan selari dengan nama pusat ini, Pusat Dalam Komuniti, justeru peranan komuniti sekeliling termasuklah NGO sangat penting dalam sama-sama menggerakkan PDK ini.


“Ditambah, kami (PDK Intervensi Awal Lukut) baru sahaja berpindah masuk ke bangunan ini, jadi masih banyak lagi keperluan yang belum dilengkapkan,” katanya.


Adzhar berkata, sumbangan pendingin hawa mampu mewujudkan suasana PDK yang lebih selesa berbanding sebelum ini.


“Ia sekali gus boleh membantu emosi pelatih OKU di sini agar lebih tenteram dan tidak tantrum.


“Sementara mesin penapis air akan menyumbang besar kepada aspek kebersihan dalam penyediaan makanan kepada pelatih OKU ini,” katanya.


PDK Intervensi Awal Lukut mempunyai 18 pelatih OKU yang kebanyakannya mempunyai masalah pembelajaran.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]