Tidak beri kelebihan

in Sukan by


PERKONGSIAN Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) menempelak dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa penambahan kuota import untuk pasukan Liga Super musim depan memberi kelebihan kepada pasukan kaya.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam berkata, sesiapa sahaja yang beranggapan sedemikian jelas mempunyai pemikiran yang sempit dan tidak memandang pembaharuan itu dari sudut yang lebih luas.


Jelasnya, pindaan dilakukan itu tidak langsung beri kelebihan kepada pasukan mana sekali pun, sebaliknya ia lebih beri peluang untuk setiap pasukan jana pendapatan.


“Beri kelebihan pasukan kaya? Bagi saya pandangan itu sedikit sempit kerana apa yang kita lakukan ini, sebaliknya mampu menjadikan pasukan Liga Super lebih kaya kerana ia boleh buka peluang mereka jana lebih pendapatan.


“Tapi sudah tentulah dengan syarat mereka perlu mendapatkan pemain import yang berkualiti kerana realitinya dengan pemain berkualiti memang boleh menjana pendapatan pasukan,” katanya.


Sebelum ini, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa menjadi antara individu paling awal mengkritik peraturan penambahan kuota import musim depan yang menyifatkannya sebagai memberi kelebihan kepada pasukan kaya.


Katanya lagi, peraturan penambahan satu kuota import Asean tidak akan memberi banyak perubahan kepada pasukan Liga Super kerana kualiti pemain dari benua Asia Tenggara setaraf dengan pemain negara ini.


Kevin turut menjelaskan pihaknya tidak akan melakukan pusingan U untuk menarik balik peraturan penambahan kuota import yang bermula musim depan.


Beliau sebaliknya berkata, peraturan ini akan diteruskan dalam tempoh lima musim akan datang dan selepas itu barulah pihaknya akan kaji semula sama ada peraturan ini diteruskan atau tidak.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]