Tidak logik nelayan gaji RM500 sebulan: Nekmat

in Nasional by


SHAH ALAM – Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) menafikan dakwaan bahawa purata gaji nelayan masih RM500 sebulan.


Pengerusinya, Ahmad Rudin Hussain berkata, tiada nelayan di kawasan Semenanjung ini berpendapatan sebanyak itu, melainkan mereka yang tidak berdaftar.


“Tidak logik nelayan berpendapatan purata RM500 sebulan kerana Elaun Sara Hidup (ESH) yang diterima sahaja RM300 sebulan, maka tidak wajarlah pendapatan hasil laut nelayan hanya RM200 sebulan.


“Kajian analisa kos dan pulangan dilakukan Jabatan Perikanan, nelayan berpendapatan purata antara RM1,200 hingga RM2,000 sebulan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, dakwaan seperti itu dilihat hanya dibuat untuk merendahkan taraf golongan tersebut dan untuk mendapatkan populariti.


“Kita berterima kasih kepada kerajaan yang sentiasa berusaha meningkatkan taraf hidup, kebajikan dan pendapatan nelayan.


“Antaranya seperti subsidi minyak diesel dan petrol yang diberikan dapat membantu golongan nelayan dalam mengurangkan  kos operasi tangkapan ikan di laut, insentif hasil tangkapan ikan, perumahan nelayan, pembangunan tukun tiruan, projek Sistem Identifikasi Automatik (AIS), dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M),” katanya.


Ahmad Rudin berkata, dalam Bajet 2018, nelayan, peladang dan penternak memperolehi peruntukan yang banyak bagi menaikkan taraf ekonomi golongan itu.


“Semua bentuk bantuan ini jelas menunjukkan kerajaan komited dan serius membantu masyarakat nelayan dan bukan mainan sandiwara yang tidak sesuai dalam situasi politik negara sekarang.


“Pemikiran masyarakat nelayan sekarang lebih matang yang boleh memikirkan yang mana benar dan yang baik untuk mereka,” katanya.


Dalam pada itu, Ahmad Rudin berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan apa sahaja bentuk kerjasama, daripada pelbagai pihak, demi kebaikan masyarakat nelayan.


“Nekmat percaya agensi-agensi berkaitan seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) dan Jabatan Perikanan Malaysia yang sentiasa melakukan yang terbaik untuk melindungi sumber kita daripada dicerobohi nelayan asing.


“Ini merujuk kepada keyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang melantik Maritim sebagai agensi peneraju bagi penyelarasan aktiviti pengawasan udara di kawasan perairan negara,” katanya. 


Pelantikan itu diputuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Penyelarasan Penggunaan Aset-Aset Udara Milik Agensi Kerajaan bagi menjaga perairan daripada diceroboh.


Terdahulu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad mendakwa masih ada nelayan kampung bergaji RM400 sebulan.


Mengulas mengenainya Ahmad Rudin berkata,  kenyataan itu seolah-oleh meremehkan semangat kerjasama dan usaha murni yang sedang dan akan dilakukan.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]