Usah gelojoh, berhenti kritik FAM

in Sukan by


BEKAS pemain kebangsaan, Datuk Hassan Sani meminta pengkritik dan penyokong bola sepak tempatan supaya bersabar dan berhenti melemparkan kritikan berbaur negatif terhadap Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.


Menurutnya, desakan meminta Tunku Ismail meletak jawatan juga bukan jalan terbaik bagi menyelesaikan kemelut dihadapi skuad Harimau Malaya yang bergelut dengan masalah prestasi ketika ini.


Katanya, perubahan dalam skuad kebangsaan tidak boleh dilakukan sekelip mata kerana Tunku Ismail bukan ahli silap mata yang boleh mengubah apa jua situasi dengan tongkat saktinya.


“Mungkin apa yang saya cakap ni dah basi…atau orang dah selalu sebut. Tapi bagilah dia ruang dan peluang, TMJ (Tunku Ismail) baru lagi jadi presiden.


“Kalau orang (pengkritik) cucuk kanan kiri, atas bawah susahlah. Ini pandangan peribadi saya, apa yang saya lihat skuad junior kita dan B-23 ada peningkatan.


“Jadi tak adillah hukum FAM disebabkan prestasi skuad senior. Saya pun mahu tengok kita (skuad kebangsaan) ke Piala Dunia.


“Tapi dengan situasi sekarang dengan semua orang hentam presiden, saya rasa ia tidak membantu.


“Saya minta kita semua bersikap rasional. Kita sudah ada benihnya (21,000 pelapis Program Pembangunan Bola Sepak Negara), lambat laun kita tuai hasilnya pula,” katanya.


Sementara itu, mengulas isu kejatuhan ranking skuad kebangsaan, Hassan mengakui sudah menjangkakan perkara tersebut.


Namun katanya, tindakan membandingkan skuad kebangsaan yang ada sekarang dengan era 70 dan 80-an tidak relevan sama sekali.


“Pasal ranking tak boleh banding dengan zaman kami.  Dulu lain, masa training panjang…sekarang nak kumpul player pun susah.


“Lagi pula, dulu kami banyak masuk pertandingan antarabangsa, antaranya Piala Raja Thai dan Piala Presiden Park (Korea).


“Sebab itu kami kekal kompetitif…apa pun, saya percaya satu hari nanti kita boleh bangkit. Saya yakin dengan kepimpinan TMJ,” katanya.


Skuad Harimau Malaya menerima tamparan hebat apabila kedudukannya dalam ranking dunia jatuh empat anak tangga ke tempat ke-174 dalam senarai terbaru yang dikeluarkan  Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) kelmarin.


Malaysia juga berada di tempat ke lapan untuk pasukan dari rantau Asean.


Bulan lalu, Malaysia berada di tempat ke-170 dan kedudukan terbaru ini dipengaruhi oleh prestasi mereka dalam kelayakan Piala Asia 2019, termasuk kalah 1-4 sebanyak dua kali kepada Korea Utara pada 10 dan 13 November lalu.


Prestasi buruk tersebut mendorong pihak tertentu meminta Tunku Ismail melepaskan jawatan sebagai Presiden FAM kerana didakwa bertanggungjawab dengan apa yang berlaku.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]