'Van saya macam terbang'

in Edisi Pahang by


JENGKA – Pengguna jalan raya yang melalui jalan selepas Jambatan Sungai Chenerai Felda Jengka 14 menghala Felda Jengka 15 di sini, di minta berhati-hati dengan memperlahankan kenderaan kerana faktor jalan yang ditampal agak tinggi dan membahayakan.


Kebanyakan pengguna meluahkan rasa kecewa berikutan tampalan selebar antara lima hingga enam kaki dan berkeluasan lebih separuh jalan tersebut mengundang bahaya kepada pengguna terutama pada waktu malam.


Penduduk, Mohd Khomeini Abd Hamid, 33, berkata, dia menggunakan laluan tersebut setiap hari kerana menjalankan perniagaan pasar harian di sekitar daerah Maran, melalui detik cemas apabila van dipandunya seakan ‘terbang’ ketika menggunakan laluan itu.


“Saya tak sedar ada tampalan tu berikutan hari dah hampir malam dan cuaca hujan. Van niaga saya macam terbang. Sudahlah laluan itu di atas jambatan. Memang terkejut dan membahayakan pengguna.


“Sekarang dah tahu saya lebih berhati-hati cuma bimbang juga orang lain atau orang luar mungkin tak tahu. Di Facebook Suara Warga Jengka pun ada yang dah kemukakan ketidakpuasan hati berkenaan tampalan tinggi ini.


“Kami berharap pihak bertanggungjawab ambil perhatian dan lakukan sesuatu supaya tak ada perkara buruk berlaku di masa akan datang,” katanya.


Seorang lagi pengguna, Mohd Fauzi Abdul Talib, 38, berkata, laluan di atas jambatan Sungai Chenerai tersebut sempit ditambah pula dengan faktor tampalan jalan yang tinggi sememangnya membahayakan nyawa pengguna.


“Bukan saya seorang, rata-rata kawan -kawan saya akui tampalan tu tinggi dan boleh buat kenderaan seakan terbang. Lagi-lagi bila bawa laju.


“Jadi saya nak pesan (nasihat) kepada pengguna supaya berhati-hati guna laluan jambatan itu. Dahulu, pernah ada kejadian kenderaan terjunam ke dalam sungai di sini bermaksud ini memang lokasi kemalangan dan jika tidak dilakukan sesuatu, mungkin tragedi yang sama boleh berulang semula,” katanya.


Tinjauan Sinar Harian ke lokasi mendapati, kereta dipandu pada kelajuan 45 kilometer sejam juga boleh melambung seakan terbang, apatah lagi jika melebihi had laju tersebut.


Selain kereta, motosikal dan MPV, kenderaan berat antaranya lori, treler, malah lori bermuatan kayu balak juga melalui kawasan berkenaan.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]