Al-Quran jadi tumpuan di Negara Buku Mega

in Nasional by


SHAH ALAM – Kitab suci al-Quran mushaf dengan khat resam Uthmani, antara bahan bacaan yang menjadi tumpuan pada pesta buku, Negara Buku Mega yang berlangsung semalam hingga 26 November ini.


Tampil dengan ciri-ciri istimewa dalam saiz B5, ia bukan sahaja mudah dibaca, tetapi sesuai digunakan pembaca yang menginginkan tulisan khat lebih terang, besar dan jelas.


Seorang pengunjung, Siti Salwa Mohd Noh berkata, dengan tawaran harga murah, al-Quran itu menjadi satu naskhah wajib beli, selain buku ilmiah dan novel.


“Saya tertarik dengan harga al-Quran ini. Pernah berkunjung pada pesta buku yang lepas, tapi tidak berkesempatan beli pada harga murah.


“Kali ini saya tak lepaskan peluang memilikinya,” katanya.  


Menurutnya, kepelbagaian jenis al-Quran terbitan Karya Bestari, adalah salah satu tarikan, meskipun tidak semua daripadanya dijual  dalam jualan murah kali ini.


“Saya cadangkan supaya Karya Bestari boleh pertimbang sediakan harga murah untuk beberapa edisi al-Quran yang lain.


“Ia secara tidak langsung bila terfikir nak beli al-Quran, orang akan ingat Karangkraf,” katanya.     


Sambutan luar biasa


Sementara itu, pengarah operasi syarikat penerbitan buku alternatif urban Malaysia, Lejen Press Sdn Bhd, Azreel Rosni berkata, untuk beberapa jam pertama dibuka, ia telah menggambarkan pesta buku itu berjaya mendapat sambutan.


 “Dua jam pertama dibuka, ia mendapat sambutan luar biasa daripada orang ramai, dan konsisten selepas solat Jumaat, malah sehingga petang, tak putus-putus dikunjungi.


“Meskipun pertama kali diadakan, saya yakin penganjurannya berjaya, lebih-lebih lagi sambutan daripada pelanggan tetap yang sering menyokong,” katanya.

Komik Ujang juga mencuri tumpuan pengunjung.


Menurutnya, platform yang dibangunkan oleh Negara Buku, bukan sahaja menarik kehadiran pengunjung yang ramai, bahkan memudahkan masyarakat membeli bahan bacaan di bawah satu bumbung.


“Pesta buku secara gabungan ini bukan sahaja menjual produk bacaan masing-masing, tetapi setiap penerbit sama-sama menjayakan misi membangunkan negara ke arah masyarakat suka membaca,” katanya.


Menurutnya, antara tarikan yang disediakan Lejen sepanjang program berlangsung ialah  keahlian percuma untuk pembelian tiga buku.


“Kami tampilkan pelbagai judul buku baharu dan lama dalam genre seram, sains fiksyen, dan lain-lain serendah RM10,” katanya.


Jualan Negara Buku Mega 2017 berlangsung di Studio F Karangkraf bermula jam 9 pagi semalam hingga 9 malam,Ahad, 26 November ini. Semua buku ditawarkan pada harga RM10.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]