
PUTRAJAYA – Dengan gabungan usaha tekun 72 orang tukang sulam selama lapan bulan dan belanja mencecah RM52,000, akhirnya terhasil Alas Meja Terpanjang Jahitan Krusye (Crochet) di Malaysia, hingga meraih tempat dalam Malaysia Book of Records (MBOR).
Penghasilan produk kraf sulaman krusye sepanjang 783 meter (m) dengan kelebaran 0.70m itu, bermula sejak 22 Mac lalu dan ditamatkan pada 12 tengah hari hari ini, merupakan rekod pertama dihasilkan di negara, sempena Festival Kraf Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 (KLCIF).
Wakil MBOR, Nurasyikin Ramli menyerahkan sijil kepada Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Ibrahim Ismail. Turut menerima pengiktirafan adalah ketua projek Abdul Syukor Ismail.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Abdul Syukor berkata kejayaan itu melambangkan kerjasama utuh dalam kalangan peserta terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan golongan, antaranya guru, pensyarah dan suri rumah.
Mereka telah secara sukarela menghasilkan alas meja itu dengan menggunakan kos sendiri, katanya.
“Masalah utama kami ialah mendapatkan benang berkualiti. Memang sukar untuk mendapatkannya. Itulah satu-satunya cabaran yang dihadapi oleh kami, namun ini tidak menghalang usaha kami.
Kami terpaksa mencari benang sehingga ke Seremban (Negeri Sembilan) selain sekitar Kuala Lumpur,” katanya.
Menurut Abdul Syukor, setiap peserta perlu menghasilkan lapan hingga 10 meter alas meja dan selepas itu mereka akan mengirimkan kepadanya secara pos sebelum beliau menyambung antara satu sama lain.
“Bagi jahitan sulaman itu, setiap peserta telah membelanjakan kira-kira RM600 dan anggaran keseluruhan kos bagi 783m alas meja adalah RM52,000,” katanya.
Menurutnya, idea menghasilkan meja sulaman krusye itu bermula sekadar hobi dan suka-suka saja bagi menampilkan kelainan pada penganjuran KLCIF yang kini berlangsung di Dataran Putrajaya, Presint 3, dari 23 hingga 26 November ini.
Katanya, beliau telah menyatakan hasrat untuk menghasilkan alas meja menerusi media sosial Facebook dan berjaya mengumpul peserta yang berminat dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Tentang apa yang akan dibuat dengan alas meja terpanjang itu, beliau berkata ia akan dilerai semula bagi menghasilkan produk lain seperti alas meja, sarung bantal sebelum dijual kepada pengunjung KLCIF yang meminati barangan krusye. – Bernama
Source: SH Nasional
[featured-video-plus]