Amanah kutuk serangan di Masjid al-Rawda

in Nasional by


SHAH ALAM – Insiden kejam mengebom dan menembak jemaah Masjid al-Rawda, Mesir semalam disifatkan tiada kena mengena dengan agama.


Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang dikenali sebagai Mat Sabu berkata, tiada agama dalam dunia yang membenarkan serangan sedemikian ke atas manusia.


“Kami mengutuk dan mengecam keras pengeboman orang-orang awam yang berlaku di dalam masjid di Semanjung Sinai, Mesir.


“Perbuatan terkutuk lagi keji itu sama sekali tidak wajar walau atas apa jua alasan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Sekurang-kurangnya 235 terbunuh, manakala lebih 125 yang lain cedera  dalam satu letupan di sebuah masjid di wilayah Sinai, Mesir.


Serangan ketika umat Islam menunaikan solat Jumaat itu dipercayai didalangi sekumpulan pengganas.


Mengulas lanjut mengenainya, Mat Sabu berkata, walaupun dalam perang, membunuh orang awam yang berada di rumah-rumah ibadat, tidak dibenarkan.


Katanya, ia ditegah oleh semua agama dan dinyatakan secara jelas dalam al-Quran.


“Persoalannya, kenapa perkara begini boleh berlaku? Amat keji jika perlakuan ini dilakukan atas nama agama sehingga lebih 230 orang awam disahkan terbunuh setakat ini.


“Namun, walau siapa pun yang melakukan jenayah itu, kita berharap orang Islam dan masyarakat dunia memahami bahawa ianya tidak ada kena mengena dengan agama,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]