Azam bawa N.Sembilan kembali ke Liga Super

in Sukan by


PENYERANG skuad bawah 22 tahun (B-22) kebangsaan, N. Thanabalan berazam untuk membawa pasukan kelahirannya, Negeri Sembilan kembali ke saingan Liga Super pada musim hadapan.


Thanabalan sudah hampir pasti akan beraksi buat skuad Hobin Jang Hobin pada musim depan selepas presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan secara terbuka sebelum ini bahawa pemain itu akan kekal bersama Negeri Sembilan.


Menurut ayam tambatan Felcra FC itu, kontrak pinjamannya bersama Felcra FC akan berakhir hujung bulan ini dan beliau akan kembali ke Seremban kerana mempunyai baki setahun lagi kontrak bersama Negeri Sembilan.


“Satu impian saya apabila beraksi untuk Negeri Sembilan musim depan adalah untuk berjuang sehingga berjaya membawa pasukan itu naik ke Liga Super pada musim berikutnya,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri program ramah mesra bersama atlet Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Muzium Negara, hari ini.


Untuk rekod, Negeri Sembilan menamatkan kempen Liga Perdana musim ini di tangga kelima dan keputusan itu menyaksikan pasukan berkenaan kekal beraksi di liga sama pada musim depan.


Sementara itu, dalam perkembangan lain, Thanabalan berpendapat peraturan kuota lima pemain import pada musim hadapan akan memberi cabaran getir buat semua pemain tempatan untuk merebut tempat dalam pasukan masing-masing.


“Memang susah nak rebut tempat terutama di bahagian serangan kerana kita tahu banyak pasukan akan mengambil pemain import di bahagian berkenaan.


“Namun dari sudut positifnya, inilah masa buat semua pemain tempatan mengutip seberapa banyak pengalaman daripada pemain import untuk memperbaiki kemahiran dan cara permainan,” katanya.


Lembaga Pengarah, Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) sebelum ini meluluskan kuota lima pemain asing dalam saingan Liga Super 2018 iaitu tiga daripadanya dari seluruh dunia, seorang dari Asia dan seorang lagi pemain negara Asean.


Untuk saingan Liga Perdana pula, kuota pemain asing kekal tiga pemain dari seluruh dunia dan seorang pemain Asia, menjadikan keseluruhan empat pemain asing sahaja setiap pasukan. – Bernama




 


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]