
TASEK GELUGOR – Draf cadangan pindaan Akta Perkhidmatan Bomba 1988 kini di peringkat akhir dan dijangka dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, cadangan pindaan itu akan membolehkan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) ditubuhkan menerusi JBPM tanpa perlu didaftarkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
“Pindaan ini dilakukan bagi memudahkan lebih banyak PBS ditubuhkan supaya dapat memberi bantuan segera sekiranya berlaku bencana.
“Dengan cara ini, kami boleh galakkan lebih ramai orang menyertai bomba sukarela selain memudahkan pantauan dan kawal selia pihak bomba,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen PBS Zon Utara, di sini hari ini.
Sebanyak 34 pasukan membabitkan 443 anggota PBS dari empat negeri wilayah utara menyertai konvensyen dua hari yang bermula hari ini.
Wan Mohd Nor berkata cadangan pindaan itu untuk memudahkan JBPM memantau dan mengawal selia pergerakan PBS dan ia akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Selain itu, beliau berkata ia juga bagi membolehkan pihaknya membantu PBS dengan lebih rapi di samping menambah baik kelengkapan serta balai PBS di seluruh negara.
“Pindaan akta ini sudah lama dirancang dan draf sepatutnya sudah dibentangkan di Dewan Rakyat pada persidangan kali ini, namun disebabkan ada kekangan, ia akan dibentang pada sidang akan datang,” katanya.
Beliau berkata pihaknya juga sudah memaklumkan mengenai cadangan pindaan itu kepada RoS dan jabatan itu menyambut baik serta menyokong perkara berkenaan.
“PBS juga tidak perlu bimbang…apabila akta ini sudah dipinda segala aset yang dimiliki mereka tidak akan diambil oleh pihak kita sebaliknya mereka akan menerima lebih banyak kelengkapan peralatan dari segi jentera, pakaian serta balai pasukan itu juga akan dinaik taraf.
“Apa yang kami lakukan ini adalah kerana menghargai sumbangan PBS yang selama ini menjadi tulang belakang dalam membantu operasi menyelamat bersama JBPM,” katanya.
Beliau berkata ketika ini terdapat 370 PBS membabitkan 13,709 keanggotaan berdaftar di seluruh negara, dan berharap bilangan itu dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa. – Bernama
Source: SH Nasional
[featured-video-plus]