
BENTONG – Usaha mengeksport durian Malaysia secara terus ke China dalam bentuk biji, bakal direalisasikan dalam tempoh setahun lagi.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pada masa ini proses sedang giat dilakukan bagi memenuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang tinggi khususnya dalam aspek keselamatan makanan.
Menurutnya, kerajaan giat berusaha untuk mendapat kebenaran dari China supaya lebih banyak produk pertanian dari Malaysia masuk ke negara itu.
“Kita sudah dapat mengeksport beberapa buahan tempatan seperti manggis, nanas serta nangka dan kalau mengikut aturan kita menunggu kebenaran durian untuk masuk ke sana.
“Ini (SOP) memang merupakan standard yang sangat tinggi tetapi ia jangan dilihat sebagai sesuatu yang meresahkan kita dalam proses pembinaan kualiti yang baik kerana kalau kita boleh masuk ke China kita boleh masuk semua negara dunia lain kerana standardnya tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Festival Pelancongan Kebudayaan Durian Antarabangsa Malaysia 2017 di Dewan Perhimpunan Cina Bentong di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Parlimen Bentong yang juga Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Sementara itu, Tiong Lai berkata, Festival Kebudayaan Durian yang julung kali diadakan di Bentong mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran kira-kira 50,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.
“Kita telah berbincang dan kemungkinan festival ini akan menjadi festival acara tahunan yang akan diadakan di daerah ini pada masa akan datang,” katanya.
Source: SH Nasional
[featured-video-plus]