Kelantan uji dua pemain Brazil

in Sukan by


PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) bakal menguji dua pemain dari Brazil dalam usaha memantapkan The Red Warriors (TRW) untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.


Dua awang import yang beraksi dalam saingan Liga Pertama Indonesia musim lalu di posisi serangan dan pertahanan itu sudah tiba di Kota Bharu, hari ini.  


Setiausaha Agung Kafa, Husin Deraman mengesahkan pemain berkenaan adalah Cassio Francisco de Jesus dan Thiago Furtuoso Dos Santos selain penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Shafiq Shaharuddin.


Katanya, kesemua pemain berkenaan akan diuji terlebih dahulu sebelum badan induk itu membuat keputusan untuk menandatangani khidmat mereka.  


“Dua pemain asing itu tiba hari ini manakala seorang lagi pemain juga berasal dari Brazil akan sampai di Kota Bharu, esok.  


“Mereka akan dinilai oleh panel pemilihan Kafa sama ada layak atau sebaliknya untuk menyarung jersi pasukan Kelantan,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.


Francisco, 28, berasal dari Sao Paulo beraksi bersama Semen Padang dan membuat 31 penampilan dan menjaringkan satu gol namun kelab yang berpangkalan di Sumatera Barat itu tersingkir ke Liga Dua Indonesia, musim depan.


Sementara itu, Furtuoso, 30, penyerang Madura United yang mencetak sembilan gol daripada 14 perlawanan berjaya membantu kelabnya meraih tempat kelima dalam ISL.


Husin memberitahu, setakat ini TRW hanya mengekalkan pemain musim lalu, Morgaro Gomis selain terbaharu mengikat bekas pemain import UiTM FC, Do Dong-Hyun.


Menurutnya, status Seydi L’Imam dan pemain antarabangsa Lubnan, Abou Bakr Al-Mel yang masih memiliki kontrak sehingga tahun depan akan dinilai semula pihaknya.


“Dengan kuota pemain import boleh dikatakan terbuka ketika ini, dua pemain ini perlu membuktikan kemampuan mereka jika mahu terus kekal bersama Kelantan,” katanya.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]