KPDNKK diarah bentuk pasukan tinjau harga di pasaran

in Nasional by


IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) diminta mewujudkan satu pasukan khas bagi mengkaji harga barangan di pasaran yang pada masa kini dianggap tinggi dan membebankan rakyat.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, berdasarkan pemerhatiannya, walaupun kos pengeluaran dan margin keuntungan telah diambil kira, harga pasaran yang diletakkan adalah masih tinggi.


“Kita khuatir adanya unsur orang tengah yang menjadi kumpulan mengambil keuntungan melebihi sepatutnya.


“Jadi saya minta KPDNKK bantu tangani masalah ini. Wujudkan satu pasukan khas bagi memantau orang tengah ini agar harga pasaran tidak melebihi daripada sepatutnya.


“Kementerian melalui unit penguatkuasaan dibantu persatuan pengguna turun ke bawah untuk bantu tentukan harga agar ia mengikut pasaran sebenar,” katanya ketika merasmikan Karnival Jualan Mega KPDNKK 2017 di Bulatan Amanjaya, hari ini.


Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri KPDNKK, Datuk Seri Hamzah Zainudin.


Ahmad Zahid berkata, kenaikan harga barang yang berlaku tidak hanya pada makanan, tetapi juga melibatkan kos pengangkutan dan utiliti menyebabkan rakyat memberikan pelbagai persepsi kepada kementerian itu dan kerajaan secara keseluruhannya.


Katanya, sektor pemborongan dan peruncitan negara pada tahun ini telah mencatatkan peningkatan 7.4 peratus berbanding tahun sebelumnya dan daripada jumlah itu, sub sektor perdagangan runcit pada suku tahun ketiga tahun ini telah menunjukkan peningkatan 10.4 peratus.


“Keadaan ini menunjukkan keadaan ekonomi negara bertambah baik dari masa ke semasa, namun harga pasaran masih menjadi bebanan rakyat, ini yang harus kita perhatikan.


“Harap perkara ini diambil serius, kita tidak mahu rakyat jadi mangsa, tuduhan dibebankan kepada KPDNKK dan akhirnya tanggungjawab itu diletakkan kepada kerajaan sedangkan faktor dan pemboleh ubah adalah sebaliknya,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]