
BESUT- Cebisan tulang enam pemimpin Melayu Besut yang dibunuh tentera Jepun ketika zaman Jepun selamat dikebumikan dalam satu liang lahat di Tanah Perkuburan Kampung Alor Belanga, Alor Keladi, Hulu Besut di sini kira-kira jam 3 petang tadi.
Pengerusi Pengerusi jawatankuasa majlis pengebumian semula, Che Ku Abdul Rahman Che Ku Abdullah, 78, berkata, cebisan tulang dan gigi pejuang itu tiba di pekarangan Masjid Alor Keladi dari Kem Kijang, Jalan PCB, Kota Bharu, Kelantan kira-kira jam 12.59 tengah hari.
Menurutnya, selesai solat Zohor, cebisan mayat terlebih dahulu dimandi dan dikafankan diikuti solat jenazah sebelum dibawa ke tanah perkuburan yang terletak kira-kira 500 meter daripada masjid kira-kira jam 2 petang.
“Alhamdullillah, walaupun hujan renyai-renyai tetapi urusan menggali kubur enam pejuang itu berjalan lancar termasuk upacara pengebumian semula cebisan jasad berjalan lancar .
“Walaupun hanya menemui 12 cebisan tulang dan sebatang gigi sahaja tetapi ia sudah memadai bagi waris untuk mengebumikan jasad ahli keluarga mereka dengan lebih sempurna,” katanya.
Menurut Che Ku Abdul Rahman, cebisan tulang Penggawa, Wan Embong Wan Zainal dan rakannya, Yatim Ahmad (Imam Masjid Kampung Teluk) serta empat ketua kampung iaitu Abd. Karim Abd. Samad (Lepan Kejor), Husain Abdullah (Dengir, Hulu Besut), Othman Mamat (Bekok) dan smail Ahmad (Teluk) dibawa menaiki van jenazah untuk dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Alur Belanga, Alor Keladi, Hulu Besut.
Source: SH Edisi
[featured-video-plus]