
KOTA TINGGI – Kutipan Tabung SINAR4ROHINGYA menerusi program Amal Muafakat Johor #8 di Econsave Kota Tinggi hari pertama berjaya mengumpul RM 7883.
Pengurus Operasi Pasaraya Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam berkata ia adalah sebahagian daripada program bagi mengumpul dana bagi etnik Rohingya yang digerakkan akhbar Sinar Harian.
“Kita sasarkan bersempena program Amal Muafakat Johor #8 ini sahaja kita dapat mengumpul RM20 000 daripada penganjuran tiga hari berakhir Ahad ini.
“Ia adalah sebahagian usaha selain program utamanya adalah meletakkan tabung SINAR4ROHINGYA di 64 cawangan di seluruh negara sejak sebulan yang lalu dengan sasaran RM200 000,” katanya.
Mas Imran berkata kehadiran masyarakat Rohingya pada sesi perkongsian Sinar Kehidupan Buat Rohingya oleh Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Negeri Johor, Dr Mohd Zin Kandar menyokong usaha kemanusiaan itu.
“Rebut peluang membeli belah sambil beramal dengan tawaran pakaian terpakai serendah RM1 yang akan disalurkan dalam tabung ini.
“Pengunjung juga tidak pulang dengan tangan kosong apabila boleh memenangi I-Pad dengan setiap belian RM30 ke atas,” katanya.
Pelbagai aktiviti dan pengisian menarik diatur sepanjang tiga hari disusun antaranya pemeriksaan buah pinggang, pameran agensi kerajaan, karaoke dangdut, Carbooth&Foodtruck, ceramah perkongsian tentang Rohingya, pertandingan mewarna kanak-kanak dan warga emas, Skyrunner, pertandingan pakaian beragam, aerobik, pertandingan ukir buah, motor hebat (retro) dan artis.
Source: SH Edisi Johor
[featured-video-plus]