Menangi iPad dengan belian RM30

in Nasional by


KOTA TINGGI – Dengan hanya pembelian minimum RM30 sempena Program Amal Muafakat Johor #8 SINAR4ROHINGYA di pasaraya Econsave Kota Tinggi, pengunjung layak untuk memenangi iPad.


Pengurus Operasi Pasaraya Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam berkata, program itu bertujuan mengumpul tabung membantu etnik Rohingya yang digerakkan akhbar Sinar Harian.


Katanya, ia adalah sebahagian usaha mengumpul dana tabung itu, yang mana sumbangan besar telah dikumpulkan daripada 64 cawangan pasaraya Econsave di seluruh negara yang dianggarkan RM200,000.


“Setiap belian akan dimasukkan dalam tabung SINAR4ROHINGYA dan mereka yang menyumbang sambil beramal ini juga boleh memenangi hadiah utama iPad yang akan diumumkan Ahad ini,” katanya.


Lebih 1,000 pengunjung hadir pada hari pertama program dengan belian kira-kira dua tan pakaian terpakai yang dijual serendah RM1 dengan anggaran jualan hari pertama RM10,000.


Pelbagai aktiviti lain disusun sepanjang tiga hari program, antaranya perkongsian berkaitan isu Rohingya dengan tema Sinar Kehidupan Buat Rohingya oleh Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Negeri Johor, Dr Mohd Zin Kandar.


“MyCARE terus melebarkan rangkaian di peringkat nasional mahupun antarabangsa sama ada di dalam usaha kerjasama di dalam kempen-kempen kesedaran pembelaan ummah dan kemanusiaan, mahupun di dalam program dan implementasi projek-projek bantuan kecemasan.


“MyCARE dengan pengalaman mengoperasi pejabat di Gaza dan penghantaran lebih 30 misi kemanusiaan telah memanfaatkan pengalaman melalui perkongsian dan kempen kesukarelawanan terutamanya kepada generasi muda,” katanya.


 




 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]