Mohon balai polis gred A

in Edisi Selangor KL by


SAUJANA UTAMA – Majlis Permuafakatan Penduduk (MPP) Saujana Utama memohon supaya Balai Polis Komuniti Saujana Utama dapat dinaiktarafkan menjadi balai polis gred A.


Pengerusinya, Khairul Annuar Jalaluddin berkata, keperluan balai polis yang lengkap dengan pegawai, lokap dan kemudahan lain cukup penting untuk penduduk di kawasan membangun.


“Mungkin ramai tak tahu bahawa balai polis yang ada di lot kedai di kawasan Saujana Utama ini adalah balai polis komuniti yang memerlukan naik taraf sempurna.


“Keperluan balai polis yang lengkap dengan kemudahan ini penting seiring dengan pembangunan di Saujana Utama, Hill Park dan Eco World yang semakin rancak,” katanya.


Khairul Annuar berkata, pihaknya difahamkan ada tapak khas seluas 2.8 hektar yang dikatakan diperuntukkan untuk pembinaan balai polis yang baharu di kawasan ini.


“Jika benarlah apa yang dikatakan, penduduk sudah pastinya tak sabar menunggu untuk melihat kemudahan balai polis bagi membantu meningkatkan keselamatan diri dan harta benda mereka.


“Ini kerana keperluan itu penting bagi memastikan fungsi balai polis dapat dimaksimumkan sebaik mungkin dengan kekuatan anggota meronda di kawasan ini dengan kerjasama penduduk.


“Bukan penduduk Saujana Utama saja yang memerlukan, tetapi penduduk di Puncak Alam juga terpaksa ke sini jika berdepan sebarang kes atau mahu melaporkan kes jenayah. Jadi, MPP Saujana Utama berharap balai polis yang lengkap dengan kemudahan dapat dibina seperti yang dirancangkan demi kesejahteraan semua penduduk,” katanya.


Selain itu katanya, pihaknya memohon supaya pemaju berkaitan mengambil berat isu perparitan di longkang besar berhampiran projek pembangunan yang rancak dibangunkan.


“Saya bimbang air longkang besar di Sungai Buloh Country Resort (SBCR) 3C melimpah sehingga mengakibatkan banjir kilat gara-gara sistem pengairan tidak sempurna.


“Hujan lebat saja air cepat naik dan kalau diikutkan kedalaman longkang besar ni dalam tiga meter tapi tak boleh nak mengalir keluar sebab limpahan dari kawasan projek pembangunan berhampiran.


“Sekarang ni penduduk taman takut kalau hujan malam-malam sebab tak mustahil banjir kilat boleh berlaku dan MPP mohon pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau perkara ini. Projek pembangunan rancak berjalan di kawasan ini dan sepatutnya aliran air keluar dari kawasan projek kena buat dengan baik tanpa memberi kesan kepada penduduk lain,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]