
KINABATANGAN – Seorang lelaki hilang selepas keluar menjala ikan dengan menaiki sebuah bot di Sungai Segaliud dekat sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan Nurul Azlan Jamalludin berkata mangsa dikenali sebagai Nasrun Utik, 50.
Operasi mencari sehingga petang tadi belum menemukan mangsa.
Katanya seramai enam anggota bomba termasuk ketua operasi bersama sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada jam 2.40 petang.
Bomba tiba di lokasi kejadian pada jam 3.13 petang dan mendapat maklumat daripada orang kampung bahawa bot Nasrun telah ditemui di tengah sungai, manakala Nasrun tiada di dalam bot tersebut, katanya.
Beliau berkata anggota bomba melakukan operasi mencari di sekitar lokasi kejadian dan turut dibantu oleh penduduk kampung.
Menurutnya Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan turut terlibat dalam operasi itu.- Bernama
Source: SH Edisi Sabah Sarawak
[featured-video-plus]