Norza disifat calon sesuai teraju MOM

in Sukan by


PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria digambarkan sebagai calon yang sesuai untuk dipilih sebagai presiden baharu Majlis Olimpik Malaysia (MOM).


Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar berkata Mohamad Norza sudah menunjukkan potensi yang baik dan melaksanakan tanggungjawab dengan cemerlang sebagai Timbalan Presiden MOM, pada masa ini.


Beliau turut menegaskan Mohamad Norza memiliki kriteria sebagai pemimpin yang terbaik, dan ia sesuai dengan peranannya sebagai presiden badan induk itu.


“Beliau sangat berpengalaman dalam kepimpinan serta pengurusan sukan, dan kini dikenali di peringkat antarabangsa. Saya yakin beliau akan menjadi presiden yang sempurna,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Eksekutif MOM ke-184 di Wisma OCM, di ibu negara hari ini.


Mesyuarat agung tahunan (AGM) MOM dijadual diadakan pada 30 Jun tahun depan, dan Tunku Imran sudah menyatakan pendirian untuk tidak mempertahankan jawatan presiden yang disandangnya selama hampir 20 tahun.


Sebelum ini, dilaporkan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Penolong Setiausaha MOM Datuk Sieh Kok Chi, juga berkongsi pandangan sama, menyatakan Mohamad Norza adalah calon yang sesuai untuk bertanding jawatan presiden MOM.


Sementara itu, Mohamad Norza berkata beliau sangat menghargai kepercayaan  diberikan Tunku Imran dan Khairy, namun beliau mahu pemilihan MOM tahun depan itu dijalankan secara demokrasi.


“Saya tahu tanggungjawab itu besar, biarlah saya tumpukan kepada jawatan saya sekarang sebagai  Timbalan Presiden MOM dan Presiden BAM. Mengenai perkara itu (Presiden MOM), biarlah pada Jun depan perwakilan yang tentukan nasib saya,” kata Mohamad Norza. – Bernama


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]