Panik penggera tsunami berbunyi

in Uncategorized by


PARIT BUNTAR – Bunyi penggera amaran tsunami berbunyi secara mengejut, pagi kelmarin ternyata menggemparkan penduduk kawasan Kuala Kurau dan Tanjung Piandang.


Difahamkan, penggera terbabit dikatakan berbunyi lebih tiga kali kira-kira 10 saat.


Bagaimanapun, ia bukanlah amaran tsunami sebenar, sebaliknya terhasil dari kerja-kerja pemeriksaan alat terbabit yang dijalankan kakitangan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM).


Jurucakap JMM berkata, dua kali setahun, pihak jabatan akan membuat pemeriksaan alat penggera itu bagi memastikan ianya berfungsi.


“Di Kerian terdapat dua alat penggera tsunami dipasang iaitu di Kampung Nelayan Kuala Kurau dan Tanjung Piandang, dan kedua-duanya diperiksa dan berfungsi dengan baik.


“Diharap penduduk sekitar tidak panik kerana ianya sekadar untuk tujuan pemeriksaan bagi memastikan penggera itu berfungsi jika berlaku sesuatu kejadian seumpama itu,” katanya ditemui ketika membuat pemeriksaan di Kampung Nelayan, Kuala Kurau, di sini.


Sementara itu, penduduk Kuala Kurau, Azhar Maturidi, 44, berkata, dia terkejut mendengar bunyi amaran tersebut dan bergegas menuju ke perkampungan nelayan bagi memastikan keadaan sebenar.


Setibanya di lokasi penggera itu, dia dimaklumkan bahawa bunyi itu terhasil dari pemeriksaan dilakukan kakitangan JMM.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]