PM sampaikan hadiah pemenang PTIWRBNM

in Sukan by


PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyampaikan hadiah dan piala iringan kepada pemenang acara badminton dan tenpin boling bersempena Program Tahunan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia (PTIWRBNM) di sini.


Pasukan Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat Sabah (Bakisa) mengungguli acara badminton menewaskan Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (Baiduri) dalam perlawanan yang berlangsung di gelanggang Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.


Tempat ketiga diraih pasukan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti).


Bagi acara tenpin boling, kategori individu dimenangi oleh Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat Melaka (Bistari) dan kategori kumpulan diraih oleh pasukan Bakisa manakala pasukan Bakti muncul sebagai johan  keseluruhan acara berkenaan.


Najib turut menyaksikan aksi akhir acara badminton yang disertai isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, mewakili Bakti.


Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man; Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah; Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman; Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Ketua Menteri Sabah  Tan Sri Musa Aman.


Sejumlah 580 peserta dari 14 negeri termasuk anggota Bakti mengambil bahagian dalam program yang berlangsung selama lima hari berakhir hari ini.


Badan  amal yang turut serta dalam acara itu ialah Baidunita (Perlis), Pekerti (Negeri Sembilan), Kasih (Selangor), Sabati (Sarawak), Serikandi (Terengganu), Juita (Johor), Bidara (Kedah), Teratai (Pahang), Penawar (Kelantan) dan Sejati (Pulau Pinang).


Perlis akan menjadi tuan rumah temasya tersebut pada edisi berikutnya. – Bernama


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]