Rantai kaki, plaster mulut

in Semasa by


PUTRAJAYA – [VIDEO] Selepas tindakan melekatkan tangannya dengan gam di lantai pejabat Chevron Malaysia Limited (Caltex), Selasa lalu, seorang pengusaha stesen minyak kali ini  bertindak merantai kaki dan menutup mulutnya dengan pita pelekat sebagai tanda protes di lobi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di sini, semalam.


Fadzilah Abdul Hamid, 57, yang tiba bersama rombongan daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), jam 2.30 petang  di lobi berkenaan, terus bertindak menutup mulut dan merantai kakinya dengan rantai besi sepanjang 40 meter sebelum duduk di tangga lobi.


Dia kemudiannya mengeluarkan kain rentang yang tercatat perkataan ‘boikot Caltex’ dan bersandar di tepi tangga.


Gelagatnya itu menarik perhatian orang ramai yang berada di sekitar lobi, yang turut merakam perilakunya.


Usaha pengawal keselamatan yang memintanya beredar bagaimanapun gagal dan dia hanya menunjukkan isyarat tangan sebagai tanda enggan bekerjasama.


Kira-kira sejam selepas itu, Fadzilah kelihatan berjalan-jalan di sekitar lobi dengan mengheret rantai besi di kakinya.


Difahamkan, Fadzilah tidak akan berganjak di lobi itu sehingga tuntutannya diambil perhatian oleh KPDNKK.


Sementara itu, peguam yang mewakili PPIM, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pertemuan dengan pihak KPDNKK semalam, bagi menyatakan hasrat Fadzilah yang mahu pertemuan tertutup dengan Ketua Setiausaha kementerian bagi menyelesaikan isu dihadapinya.


“PPIM bertindak sebagai pemerhati dan hanya menjadi wakil kepada Fadzilah.


“Dia mahu pertemuan tertutup dengan KPDNKK yang dianggap sebagai badan penyelesaian kepada pertikaian berlaku,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan KPDNKK, yang turut disertai, Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM, Muhammad Yusof Azmi.


 Hishamuddin berkata, PPIM tiada kaitan dan tidak terlibat dengan tindakan protes Fadzilah yang menggari kaki dan menutup mulutnya dengan pita pelekat.


“Yang mampu kami lakukan adalah bersama sebagai tanda sokongan kerana Fadzilah adalah pengadu kepada kami,” katanya.


Pada Mei lalu, Fadzilah menerima notis memintanya mengosongkan dua stesen minyak di Kelana Jaya dan Kampung Subang.


Tuntutan penamatan bagi kedua-dua stesen itu dianggar melebihi RM700,000.


 


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]