Saiz batu nisan makin besar

in Edisi Utara by


BALING – Kubur bertanda dua batu nisan daripada batu hidup di kaki Gunung Pulai dipercayai milik seorang pembesar dan saiznya didakwa penduduk semakin membesar.


Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kemajuan Kampung (JKKK), Pekan Lama Pulai, Mohd Desa Murad, 59, berkata, saiz kedua-dua batu nisan itu semakin membesar berbanding beberapa tahun lalu.


Menurutnya, kubur itu dipercayai paling tertua berbanding pusara lain di situ.


“Mungkin ia milik Syahbandar Pulai, pembesar yang buka penempatan di sini.


“Tetapi saiz kedua-dua batu nisan itu memang membesar. Perubahan itu disedari penduduk sendiri,” katanya.


Terdahulu, Sinar Harian bersama Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) diketuai pengerusinya, Datuk Dr Wan Shamsuddin Mohd Yusof dan penduduk meninjau kawasan perkuburan lama di kaki Gunung Pulai.


Mohd Desa berkata, saiz batu berkenaan ketika usianya 12 tahun dilihat seperti batu gunung normal lain.


“Waktu usia saya 12 tahun, batu nisan tu pun saiznya kecil saja, adalah dalam 20 sentimeter, sekarang ni umur saya dah 59 tahun, saiz batu tu pun besar,” katanya.


Penduduk, Mat Rashid Ahmad, 42, berkata, perubahan saiz batu nisan itu bukan perkara pelik bagi penduduk.


“Bagi orang luar mungkin rasa pelik, tapi bagi kami dah biasa. Lagipun ada malim gunung pernah temui batu hidup yang saiznya membesar di gunung ni,” katanya.


Menurutnya, masih ramai belum mengetahui kawasan kubur itu sedangkan ia mengandungi nilai sejarah.


“Ramai pendaki gunung datang sini, tapi tak ramai yang tahu di sini ada kawasan perkuburan lama yang berkait dengan sejarah Pulai.


“Jika ada bantuan mana-mana pihak, bolehlah dipasang papan tanda untuk maklumat,” katanya.


Sementara itu, Dr Wan Shamsudin berkata, kubur  itu akan dikaji PSMCK.


“Tiada sebarang tarikh atau nama tertera pada kedua-dua batu nisan ini.


“Kubur itu kelihatan seperti terawal di situ, tetapi PSMCK perlu melakukan kajian lanjut sama ada ia milik syahbandar Pulai pertama, kedua atau ketiga.


“Jawatan syahbandar wujud antara seawal 1689 dan selewat pada 1736. Institusi Syahbandar merupakan cabang sistem pemerintahan dan pentadbiran,” katanya.


Sementara itu, Pegawai Geosains, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Kedah/Perlis/Pulau Pinang, Nur Susila Md Saaid berkata, pembesaran saiz batu hanya berlaku melalui proses pembentukan stalaktit dan stalagmit di dalam gua.


“Bagi batu nisan berubah saiz itu mungkin kerana bahagian bawah batuan asal sememangnya besar. Bahagian atas batu nisan semakin mengecil disebabkan proses lulu hawa. Apabila berlaku mendapan tanah, batu nisan itu kelihatan seolah-olah membesar,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]