Terharu menteri datang rumah

in Edisi by


PAUH SEMBILAN – Seorang warga emas yang juga penghidap kencing manis gembira diziarahi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed di kediamannya di Kampung Belukar, dekat sini.


Mohd Nordin Dolah, 65, berkata, dia hanya mengetahui mengenai lawatan menteri itu bersama Penyelaras Dun Tawang, Datuk Mohd Radzuan Abdullah sehari sebelumnya setelah dimaklumkan jiran.


“Memang gembira bila jiran datang beritahu Datuk Pa nak datang rumah. Sebelum ini pun pakcik pernah jumpa dia di beberapa majlis bersama Datuk Radzuan juga.


“Terima kasih Datuk Pa dan Datuk Radzuan sudi singgah teratak kami yang tak seberapa ini,” katanya ketika diziarahi Mustapa bersama Mohd Radzuan, kelmarin.


Dalam lawatan itu, Mohd Nordin menjalani pemeriksaan kesihatan oleh petugas kesihatan yang didatangkan khas dari Klinik Kesihatan Beris Panchor dan Klinik Kesihatan Balai.


Katanya, dia baru pulang dari klinik untuk merawat kakinya yang cedera selepas kemalangan minggu lalu.


“Kaki kiri pakcik cedera tertusuk besi lepas berlanggar dengan sebuah motosikal dekat dengan rumah. Lepas kemalangan kaki pakcik bengkak dan bila dah bernanah doktor suruh ke hospital di Kota Bharu.


“Lepas itu pakcik kena cuci luka setiap hari. Klinik pun kena pergi sebulan sekali untuk periksa sakit kencing manis,” katanya yang menghidap kencing manis sejak 2001.


Difahamkan Mohd Nordin tinggal di rumah itu bersama isterinya, Hemar Mat, 50an dan sembilan ahli keluarga lain.


Dia kini tidak dapat bekerja dan bergantung hidup kepada anak yang tinggal bersama di rumah tidak siap berikutan masalah kewangan.


Sementara itu, Mohd Radzuan berkata, sesi ziarah ke rumah Mohd Nordin adalah program berkala yang dilakukan di setiap Dun sejak beberapa bulan lalu yang turut membawa pasukan kesihatan.


Beliau berkata, rombongan itu menziarahi 10 rumah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pauh Sembilan dan PDM Gajah Mati bersama pegawai dari Klinik Kesihatan Beris Panchor dan Balai, Pegawai Jabatan Pembangunan Persekutuan Daerah Bachok, Ibrahim Mat Adam.


“10 pesakit itu yang dikenal pasti terlantar dan dapat rawatan di Hospital Kota Bharu, warga emas, strok, kencing manis, sakit tua dan sebagainya. Sebelum ini juga kita buat ia sebagai program mingguan,” katanya.


Katanya, ketika bertemu masyarakat Tawang, mereka nyata teruja apabila mengetahui Hospital Bachok dalam pembinaan dan tidak perlu lagi ke Kota Bharu mendapatkan rawatan selepas ia siap.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]