
SABAK BERNAM – Impian seorang suri rumah untuk memiliki sebuah mini banglo di Peket 60, Sungai Besar, di sini, bukan saja tidak kesampaian, malah wangnya itu turut dilesapkan sindiket penipuan rumah murah berkenaan.
Siti Selamah Sukijan, 52, berkata, dia mengalami kerugian RM45,000 selepas terpedaya dengan tawaran yang dijanjikan syarikat terbabit kononnya ingin menawarkan rumah dengan harga yang jauh lebih murah daripada pasaran.
Malah, katanya, syarikat terbabit turut menawarkan promosi sebanyak RM5,000 sekiranya dia menjelaskan bayaran sebelum akhir bulan April lalu.
“Harga rumah yang ditawarkan adalah RM45,000, namun kosnya dinaikkan kepada RM50,000 jika saya gagal menjelaskan bayaran penuh pada tarikh terbabit.
“Saya yang nak dapatkan diskaun RM5,000 telah membayar wang RM45,000 kepada ejen syarikat itu dengan wang pendahuluan RM5,000 secara tunai 22 April lalu,” katanya.
Siti Selamah yang menetap di Taman Kasawari Bukit Rotan, Kuala Selangor berkata, dia kemudiannya menjelaskan baki wang itu sebanyak RM40,000 kepada ejen syarikat yang sama di sebuah bank di Tanjong Karang, tiga hari selepas menyerahkan wang pendahuluan.
Malah, katanya, selepas itu, dia dipaksa menandatangani surat tempahan perjanjian bina siap dengan syarikat terbabit di Ampang, 10 Jun lalu.
“Saya diugut jika tidak tandatangani perjanjian itu, wang RM5,000 akan dipotong dari jumlah RM45,000 yang telah saya bayar,” katanya.
Katanya, pada 8 September lalu, pihak kontraktor yang dilantik syarikat terbabit telah melakukan kerja-kerja pembinaan rumah di atas tanah terbabit.
Bagaimanapun, katanya, sehingga kini, projek rumah tiga bilik dan dua bilik air yang dijanjikan syarikat itu masih terbengkalai.
“Pihak kontraktor maklumkan mereka terpaksa hentikan projek pembinaan sebab belum dapat arahan daripada syarikat untuk teruskan projek tersebut,” katanya.
Katanya, disebabkan pelbagai masalah timbul, dia mula curiga dengan syarikat terbabit dan membuat laporan polis mengenainya di Balai Polis Sungai Besar, semalam.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi berkata, pihaknya menggesa agar mereka yang terlibat dalam sindiket itu segera diambil tindakan dari segi undang-undang.
Malah, katanya, di Parlimen Sungai Besar sahaja terdapat tujuh kes pembeli membuat aduan tentang penipuan jualan rumah murah.
“Kita kena semak sama ada pihak yang terlibat ini sindiket yang sama atau pun berbeza.
“Kita harapkan agar pihak kerajaan supaya dapat menenangkan hati mangsa terlibat… bukan dari segi pampasan, tetapi kalau ada alternatif-alternatif lain yang boleh meredakan tekanan dihadapi,” katanya.
Source: SH Edisi Sel KL
[featured-video-plus]