Thailand tahan seorang lagi etnik Uighur

in Global by


SONGKLA – Pihak berkuasa selatan Thailand menahan semula seorang etnik Uighur yang meloloskan diri daripada sebuah pusat tahanan Imigresen di Sadao, wilayah Songkla lima hari lepas.


Ketua Polis Imigresen ke-6 Songkla Mej Jen Jeksada Yaisun berkata, lelaki etnik Uighur itu dikenali sebagai  “Muhamad Amin”, 31, ditahan di Kampung Raitok, Sadao 8 pagi tadi (waktu tempatan) ketika mencari makan.


“Lelaki itu memberitahu pihak berkuasa, dia mengambil keputusan melarikan diri daripada pusat tahanan itu kerana amat rindu terhadap isteri dan dua anaknya yang kini berada di Turki,” kata Jeksada kepada pemberita hari ini.


Katanya, ‘Muhamad Amin’ yang fasih bertutur beberapa bahasa bercadang menyeberangi sempadan Malaysia tetapi terkandas di kawasan hutan di sempadan kedua negara itu bersama empat rakannya yang lain.


Jeksada berkata, sepanjang berada di hutan mereka tidak makan dan hanya meminum air hujan.


Beliau merupakan salah seorang daripada 20 etnik Uighur yang meloloskan diri daripada pusat tahanan Imigresen di Sadao selepas menebuk lubang di dinding bangunan mereka.


Pihak berkuasa Thailand setakat ini telah berjaya menahan semula tiga daripada etnik Uighur itu termasuk “Muhamad Amin”, manakala Malaysia telah menahan semula seorang di Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam.


Usaha memburu 16 etnik Uighur yang masih bebas sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa Thailand dan Malaysia.


Timbalan Perdana Menteri Thailand Jen Prawit Wongsuwan meminta bantuan Malaysia menghantar balik etnik Uighur yang ditahan.


Kesemua 20 etnik Uighur itu yang ditahan di pusat tahanan terbabit sejak 2014, sedang di dalam proses penghantaran semula ke negara asal mereka. – Bernama


Source: SH Global

[featured-video-plus]