Tidak berani tinggal di rumah

in Edisi by


GUA MUSANG – Runtuhan tanah yang berlaku di perkampungan Orang Asli, Pos Sangwai A, pada 21 November lalu menyebabkan penduduk di kawasan berkenaan mula meninggalkan rumah masing-masing.


Takut sekiranya berlaku perkara tidak diingini, lebih 100 penduduk dari 30 rumah sepakat mendiami dewan dan surau Pos Sangwai B, yang terletak bersebelah kampung mereka.


Tinjauan Sinar Harian mendapati, kawasan bukit yang berada kira-kira 500 meter dari kawasan penempatan Orang Asli itu sedang dalam proses pembukaan ladang.


Penduduk, Jamis Manang, 32, berkata, pada jam 4.30 petang lima hari lalu, dia dikejutkan bunyi kuat dari arah bukit ketika sedang berehat di rumah.


Katanya, dia keluar dan melihat tanah bukit berdekatan sudah runtuh dan menimbus sebahagian besar tanamannya sehingga 500 meter dari kawasan bukit berkenaan.

Keadaan bukit yang ditarah sehingga menyebabkan runtuhan melibatkan Kampung Sangwai A.


“Saya panik dan mengarahkan semua ahli keluarga dan jiran keluar menyelamatkan diri kerana bimbang runtuhan boleh meranapkan rumah.


“Sejurus kejadian, saya lihat habis tanaman saya musnah. Saya dah buat laporan polis bagi menuntut ganti rugi, habis sumber pendapatan saya musnah,” katanya.


Kerajaan negeri perlu buka mata, pembukaan ladang tak terkawal


Kerajaan negeri digesa mengawal pembangunan Tanah Tinggi Lojing agar penduduk Kampung Sangwai A dan kampung sekitar tidak lagi bimbang untuk tinggal di rumah masing-masing.


Adun Galas, Ab Aziz Yusoff berkata, aktiviti pembukaan ladang secara tidak terkawal perlu dihentikan segera demi keselamatan penduduk di kawasan berkenaan.

Golongan wanita menyediakan hidangan makanan bagi penduduk yang berkampung di surau dan dewan.


“Hasil tinjauan, kita mendapati aktiviti ini dilihat tidak mematuhi peraturan di mana ia mengakibat kan 90 peratus kecuraman yang boleh membahayakan penduduk sekitar.


“Pihak terlibat seperti Pejabat Tanah dan Jajahan Kecil Lojing, Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS), perlu buka mata dan perlu bertindak sewajarnya.


“Pengusaha ladang yang tidak mematuhi peraturan perlu dikenakan tindakan agar menghentikan segera kerja-kerja tarahan,” katanya selepas meninjau keadaan bukit dan runtuhan itu.


Tambah Aziz, beliau akan mengadakan pertemuan bersama pihakpihak yang terlibat Ahad ini (esok), bagi tindakan segera dalam kejadian ini.


“Kita tidak mahu situasi yang sama berlaku seperti di Cameron Highland kerana ia jelas di mana aktiviti ini memberi kesan kepada penduduk Orang Asli dan mengakibatkan bencana termasuk banjir lumpur,” katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]