
MELAKA TENGAH – “Tolonglah puan, lepaskan saya, kasihan isteri saya sudahlah sarat mengandung, kalau dia tahu saya kena tangkap mesti dia sedih,” kata seorang tukang cuci kereta yang ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Melaka Tengah, disyaki penagih dadah di bekas tapak pelupusan sampah Krubong, di sini, pagi tadi.
Lelaki berusia 36 tahun dan berasal dari Pokok Mangga,Melaka, itu antara empat lelaki yang turut ditahan berusia 33 hingga 47 tahun dalam tangkapan lebih kurang jam 7.30 pagi dan melibatkan kira-kira 50 dari pelbagai agensi.
Lelaki terbabit berkata, dia sebelum ini menetap di Lembah Subang, Selangor sejak lebih lima tahun lalu bersama isteri dan seorang anaknya berusia 6 tahun, bagaimanapun pulang ke kampung di Pokok Mangga untuk melawat ibunya yang baru menjalani pembedahan potong jari kaki akibat kencing manis.
Menurutnya, dia yang sampai di Melaka sejak Rabu lalu, dengan menunggang motosikal bagaimanapun bertemu seorang rakan yang memperkenalkan dan membawanya ke ‘port’ panas itu untuk menagih dadah dan mengakui ini kali kedua ditahan selepas beberapa tahun lalu serta pernah melalui hukuman empat bulan di pusat serenti.
“Masa saya tinggal di KL, tak ada pun terfikir nak ambil dadah, tapi bila saya sampai sahaja di Melaka, keinginan dan bau dadah semakin kuat, buatkan saya datang ke tempat ini.
“Tolonglah hanya saya sahaja yang bekerja, isteri pula dijangka bersalin minggu depan, ampunkanlah saya jangan beritahu isteri, saya” katanya.
Sementara itu Ketua Pegawai AADK Daerah Melaka Tengah, Lailiana Maon berkata, tangkapan menerusi program My Beautiful Malaysia kali ke 8 itu pada tahun ini, turut menahan seorang anggota polis yang berkhidmat di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) di sebuah negeri pantai timur.
“Lelaki berusia 33 tahun dan berasal dari Kelemak, Alor Gajah itu kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan empat lelaki lain akan didakwa di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983,” katanya.
Dalam tangkapan bermula seawal 6.30 pagi dan melibatkan Jabatan Kesihatan, Southern Waste Managment Environment (SWM), Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Melaka Tengah, Pusat Rawatan Cure and Care (C&C) Tampin dan Tiang Dua turut berjaya menemui dua paket kecil lut sinar dipercayai dadah jenis heroin dan syabu daripada seorang penagih dadah yang tidak sempat melepaskan gian.
Source: SH Edisi Melaka NS
[featured-video-plus]