Utamakan atlet guna Bandar Sukan KL: MOM

in Sukan by


MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) menggesa pihak berkuasa Bandar Sukan Kuala Lumpur supaya memberi keutamaan kepada atlet untuk memanfaatkan sepenuhnya kemudahan sukan di kawasan berkenaan daripada hanya memikirkan keuntungan semata-mata.


Justeru, Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar meminta kerajaan memainkan peranan bagi memastikan persatuan sukan kebangsaan dapat menggunakan dan memanfaatkan peralatan dan kemudahan dengan sepatutnya di bandar sukan tersebut.


“Kita diberitahu oleh salah seorang anggota kita petunjuk prestasi utama (KPI) untuk lembaga stadium berkenaan adalah untuk membuat sebanyak mungkin pendapatan yang bermakna persatuan sukan kebangsaan terhad dalam menggunakan kemudahan sukan mereka.


“Jadi, kita menyeru pemilik kemudahan sukan itu untuk melihat kembali apa perlu mereka lakukan dengan kemudahan tersebut. Pandangan saya, KPI bagi kemudahan sukan bukanlah berapa banyak keuntungan mereka peroleh tetapi berapa jam setiap hari mereka memenuhi kemudahan itu dengan aktiviti oleh atlet remaja, amatur atau elit.


“”Saya menggesa mereka melihat semula dasar tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Eksekutif MOM ke-184 di Wisma OCM di sini hari ini.


Tunku Imran mengambil contoh penggunaan stadium selepas Sukan Komanwel 1998 yang menyaksikan trek di Stadium Nasional tidak digunakan oleh atlet olahraga.


“Saya berharap mereka dapat mengambil pengajaran dan menggunakan stadium itu untuk membangunkan atlet,” katanya.


Difahamkan hampir RM500 juta daripada peruntukan RM1.6 bilion digunakan untuk pembinaan fasa pertama Bandar Sukan Kuala Lumpur, yang disiapkan sebelum Sukan Sea ke-29 dan Sukan Para Asean kesembilan, baru-baru ini. – Bernama


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]