10 khemah peniaga Pantai Batu Burok ranap

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Hujan lebat dan ribut awal pagi tadi menyebabkan 40 khemah peniaga di tapak karnival sempena cuti sekolah di Pantai Batu Burok, di sini, rosak teruk dipukul ribut, dengan 10 daripadanya ranap.


Kejadian itu berlaku kira-kira jam 11 pagi, ketika kebanyakan peniaga masih belum membuka gerai jualan masing-masing.


Seorang peniaga kasut, Zack Danial Faiz Zulkafli, 18, dari Pahang berkata, kejadian ribut berlaku beberapa kali sejak jam lima pagi tadi.


“Saya dan kawan tidur di khemah ketika kejadian. Ribut kuat berlaku beberapa kali tapi dalam jam 11 pagi, ribut terlalu kuat sampai ada khemah ranap dan berterbangan. Saya tidak fikir panjang, keluar khemah selamatkan diri.


“Ada yang jatuh ketika lari kerana angin terlaku kuat. Bila dah reda, baru kami semua kembali menyelamatkan barangan yang masih boleh digunakan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.


Wan Haikal Zulkarnain, 27, yang baru beberapa hari mula berniaga di karnival itu berkata, ketika kejadian, dia sedang tidur namun bernasib baik kerana sempat melarikan diri, sebelum khemahnya ranap.


“Saya bernasib baik besi khemah tak timpa muka. Saya sempat elak dan keluar selamatkan diri. Tapi barangan jualan saya rosak, pintu lori saya pun tercabut. Agak trauma dengan kejadian ini sebab ini kali keempat saya kena kejadian seperti ini dan kerugian kali ini juga agak besar, kira-kira RM50,000,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]