
KOTA BHARU- Penduduk yang tinggal di Kampung Sri Kulim, Melor, di sini mula mengalih kenderaan dan mengangkat barang di dalam rumah berikutan banjir mula melanda kawasan itu.
Penduduk, Yusof Ibrahim, 64, berkata, awal pagi lagi dia datang ke rumah adiknya yang sudah naik separas betis bagi mengangkat barang naik ke tingkat dua rumah.
“Air naik pagi ini, malam tadi saya dah telefon jiran sebelah, katanya air belum naik, tapi pagi ini sudah melimpah ke dalam rumah.
“Sejak lebih tiga tahun adik bina rumah di sini, rumah ini lah yang mula-mula naik air, sebab itulah kami bina almari kabinet gantung untuk memudahkan pemindahan barang,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, hari ini.
Sementara itu, penduduk, Rahalim Ismail, 50, berkata, berikutan air sudah naik di kawasan rumah dan jalan kampung, mereka yang memiliki kereta dan lori mula mengalihkan kenderaan ke tempat tinggi.
“Biasanya kami letak di kawasan Klinik Ziad Azhari yang terletak di hadapan masuk kampung bagi mengelak kerosakan atau ditenggelami banjir,” katanya.
Bagi Hazban Hasbullah, 48, berkata, air di Sungai Melor-Mahligai naik sejakalam tadi dan semakin naik sehingga sekarang.
“Laluan masuk ke Kampung Sri Kulim kini hanya mempunyai satu alternatif sahaja iaitu melalui jalan dari Mahligai.

“Jalan utama ke kampung ini sudah tidak boleh dilalui kerana paras air sudah tinggi tidak sesuai dilalui kereta,” katanya
Tinjauan Sinar Harian mendapati air sungai naik secara berterusan sehingga kini dengan hujan lebat dan cuaca mendung.
Source: SH Edisi Kelantan
[featured-video-plus]