
KOTA BHARU – Tindakan seorang anggota tentera merogol seorang remaja berusia 18 tahun dua tahun lalu membawa padah, apabila dia dijatuhi hukuman penjara 16 tahun dan enam sebatan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Nazri Ismail menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh, Muhammad Bukhori Mohd. Zawawi, 21, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 18 tahun di hadapan orang lain di Bukit Peraksi Semerak, Pasir Puteh, pada jam 11 malam, 15 Oktober 2015.
Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (2)(c) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Mohd Arsyad manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Shukri Mohamed.
Mahkamah kemudian menetapkan esok sebagai pendengaran untuk permohonan menangguhkan hukuman bagi rayuan di Mahkamah Tinggi.
Source: SH Semasa
[featured-video-plus]